ALOR SETAR: Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Mohd. Daud Bakar mengakui terdapat tiga pihak berminat memiliki kelab berkenaan.
“Setakat ini sudah ada sekurang-kurangnya tiga yang berminat mengambil alih penuh,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Darul Aman di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Daud bersedia menawarkan saham syarikatnya atau melepaskan kelab itu untuk membantu menyelamatkan pasukan Sang Kenari dan menyelesaikan tunggakan gaji para pemain.
“Ya, kalau ada tawaran yang berpatutan dan boleh menampung segala kos dan dengan syarat kami sebagai lembaga pengarah kena berhati-hati. Tanggungjawab ini bukan kerana kewangan semata-mata. Kalau syarikat kami boleh jual kepada sesiapa.
“Syarikat ada kepentingan untuk negeri dan negara. Ia mencerminkan tentang sesuatu kawasan. Bola sepak adalah wajah kepada sesebuah negeri.
“Pemilik baharu perlu lihat bahawa ya wang itu penting, tetapi membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi dengan cara Kedah yang tersendiri,” jelasnya.-UTUSAN