PETALING JAYA: Gesaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh supaya parti itu meninggalkan Kerajaan Perpaduan tidak wajar mempengaruhi hala tuju politik di Sabah.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, gesaan tersebut berpunca daripada pertimbangan politik yang dibentuk berdasarkan perkembangan di Semenanjung, sedangkan realiti politik dan sosial di Sabah adalah berbeza.
“Bagi rakyat Sabah, keutamaan adalah perpaduan, kestabilan serta tadbir urus yang berkesan dalam sebuah negeri yang majmuk.
“Perpaduan dalam kerajaan baharu Sabah mesti menjadi agenda utama. Kestabilan politik amat penting bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dan perancangan pembangunan jangka panjang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Salleh berkata, fokus utama Sabah ketika ini adalah pembangunan serta menuntut autonomi sebenar dan hak negeri sepenuhnya termasuk hak 40 peratus hasil negeri selaras dengan perjanjian dan prinsip Perlembagaan.
Katanya, UMNO Sabah perlu berautonomi dalam menentukan pendirian dan hala tuju politiknya. Keputusan yang melibatkan negeri ini harus berpandukan kepentingan rakyat Sabah, bukan terikut-ikut dengan perbahasan politik di peringkat pusat.
“Pada ketika ini, Sabah mesti kekal fokus untuk mentadbir, membangun dan mempertahankan haknya, tanpa terheret dengan polemik politik dari luar negeri,” katanya.
Semalam, Muhamad Akmal menyeru UMNO agar menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang atas alasan berlaku pelanggaran berulang terhadap garis merah membabitkan Islam, masyarakat Melayu dan institusi diraja. – UTUSAN










