Suami mati dibunuh ketika isteri tunggu untuk makan tengah hari

Suami mati dibunuh ketika isteri tunggu untuk makan tengah hari

Mangsa meninggal dunia dipercayai dibunuh di kawasan perkuburan Cina di Jalan Lumba Kuda, Padawan tengah hari semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADAWAN: “Dari pagi saya menghubungi dia kerana mahu mengajak makan tengah hari tetapi telefon tidak dijawab sehinggalah saya diberitahu dia sudah meninggal dunia,” kata isteri kepada mangsa pembunuhan di kawasan perkuburan Cina di Jalan Lumba Kuda di sini.

Menurut wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu, dia cuba menghubungi suaminya dari jam 11 pagi semalam namun panggilannya tidak dijawab sebelum dihubungi ahli keluarga suaminya yang memaklumkan mangsa ditemui mati di kawasan kubur berkenaan.

Susulan itu, dia berkata terus bergegas ke tempat kejadian untuk mendapatkan kepastian.

“Saya berharap perkara itu tidak benar sehinggalah saya melihat sendiri apa yang berlaku di depan mata,” katanya.

Menurut wanita itu, suaminya bekerja sebagai tukang buat kubur di tanah perkuburan berkenaan dan ketika kejadian, anak lelakinya turut bersama-samanya di situ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata pihaknya berjaya menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Katanya suspek berusia 28 tahun itu ditahan di kawasan kedai Batu 17, Siburan pada pukul 4.45 petang semalam.

“Suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan,” katanya yang dihubungi.

Beliau menambah pihaknya juga sedang giat memburu suspek lain.

Terdahulu, Mohd Irwan berkata mangsa yang berusia 67 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada badan di tempat kejadian kira-kira tengah hari semalam.

Selain itu, katanya anak mangsa berumur 34 tahun turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Justeru, Mohd Irwan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Sylvarius Gopog ditalian 013-8637241 atau Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×