KUCHING: Kerajaan komited meneruskan fokus kepada penekanan terhadap kursus berteknologi tinggi bersesuaian dengan permintaan guna tenaga pasaran industri melalui bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu akan dilaksanakan melalui 251 kursus TVET yang diselia melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan agensi Lembaga wilayah yang lain.
“Ini adalah bagi menukarkan minda daripada bakal pencari kerja dan usahawan yang berbentuk ‘white collar job’ kepada ‘blue collar job’ yang menjanjikan imbuhan melebihi daripada hakikat pasaran biasa.
“Malah, di bawah kementerian terutamanya melalui MARA dan beberapa agensi lembaga wilayah, kita mempunyai 251 bidang TVET, oleh itu, kita akan memberikan penekanan terhadap kursus berteknologi tinggi terutamanya yang bersesuaian dengan permintaan guna tenaga di pasaran industri yang sedia ada,” jelasnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir Mesyuarat Penyelarasan Antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Hotel Sheraton di sini hari ini.
MEXCLUB merupakan mesyuarat dwi tahunan yang diadakan sebagai medium dan forum di peringkat nasional bertujuan mewujudkan persefahaman dan kerjasama yang lebih erat di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
Ia membincangkan hal-hal yang berkaitan pembangunan luar bandar serta memantau projek dan program pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan dengan berkesan seterusnya memberi impak kepada kumpulan sasar.
Mesyuarat kali ini dihadiri oleh Exco Luar Bandar Sarawak, Sabah, Terengganu, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Pahang, Kedah, Melaka, Johor dan Perlis.
Manakala Exco Luar Bandar Kelantan diwakili oleh Timbalan Exco dan Exco Luar Bandar Perak diwakili oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak.
MEXCLUB diharap dapat menjadi platform untuk perbincangan secara constructive di antara KKDW dan Kerajaan Negeri bagi memperkukuh persefahaman dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar menjelang tahun 2030.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid memuji usaha kerajaan Sarawak dengan mewujudkan sepuluh agensi dan lembaga berkaitan pembangunan dalam memperkasa kemajuan wilayah negeri itu terutamanya di kawasan luar bandar.
“Beberapa kemajuan yang dibuat oleh wilayah Sarawak sendiri dengan pengwujudan sembilan lembaga ataupun majlis serta agensi-agensi pembangunan di sembilan kawasan di Sarawak. Ini merupakan perubahan yang harus dipelajari juga oleh negeri lain.
“Sudah tentunya komitmen berteknologi tinggi tanpa melupakan prinsip-prinsip asas keperluan penduduk di kawasan pedalaman turut diambil kira. Justeru, dalam hal ini, kita berkongsi pendekatan supaya perimbangan di antara penduduk luar bandar, pinggir bandar dan bandar akan dapat diselaraskan ya,” tambah Ahmad Zahid.
Sembilan agensi tersebut terdiri daripada Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA); Agensi Pembangunan Upper Rajang (Urda); Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA); Agensi Pembangunan Samarahan Wilayah Bersepadu (IRSDA); Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA); Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA); Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA); Agensi Pembangunan Kawasan Rascom (RADA) dan Agensi Pembangunan Terkoordinasi Greater Kuching (GKCD).-UTUSAN