Celine Dion cipta momen ikonik, persembahan berlatar belakangkan menara Eiffel - Utusan Malaysia

Celine Dion cipta momen ikonik, persembahan berlatar belakangkan menara Eiffel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Penyanyi pujaan ramai, Celine Dion mengubat rindu peminat menerusi persembahan istimewa sempena acara pembukaan sukan Olimpik 2024 di sini, pagi tadi waktu tempatan.

Ibu dua cahaya mata itu memukau dengan busana ikonik berona perak bertatahkan manik berkilauan yang dihasilkan pereka tersohor, Dior.

Celine membuktikan penyakit stiff person syndrome yang dideritainya bukan penghalang untuk sekali menguasai pentas.

Bahkan lontaran vokal emas penyanyi berketurunan Perancis dan Kanada ini ketika melantungkan lagu Hymne A L’ Amour yang dipopularkan penyanyi, Edith Piaf terus memukau jutaan penonton yang menyaksikan acara berprestij tersebut secara langsung.

Rata-rata penonton menantikan kemunculan Celine yang melakukan persembahan penutup bagi acara pembukaan yang berlangsung selama empat jam itu.

Persembahan itu menjadi lebih ikonik apabila bintang sebesar Celine diberi penghormatan untuk menyanyi dengan berlatar belakangkan menara Eiffel.

Terdahulu, khabar angin mengenai kemunculan Celine pada acara pembukaan Olimpik 2024 bertiup kencang selama berminggu-minggu.

Beliau dilaporkan dibayar sehingga AS$2 juta (RM9 juta) untuk menyanyikan sebuah lagu di acara tersebut.

Penyanyi itu pada Jun dua tahun lalu mengejutkan peminatnya apabila memaklumkan mengenai keadaan kesihatannya, sekali gus terpaksa membatalkan beberapa konsert siri jelajahnya pada waktu tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×