BAGAN SERAI: Kemarau yang melanda daerah Kerian ketika ini disifatkan semakin kritikal dan jika berterusan ia dibimbangi akan menjejaskan bekalan air kepada pengguna.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad berkata, paras air Tasik Bukit Merah yang menjadi sumber bekalan air untuk kegunaan rakyat dan pertanian serta industri didapati semakin menyusut selepas dua bulan tiada hujan di kawasan tersebut.
Katanya, jika keadaan itu berterusan, dibimbangi ia akan menjejaskan bekalan air kepada pengguna pula termasuk terpaksa mencatu bekalan air.
“Kemarau melanda kawasan kolam tadahan ini lebih daripada dua bulan dan paras bacaan air amat kritikal. Diharapkan situasi ini tidak berlarutan.
“Sekiranya situasi ini berlarutan dibimbangi akan berlaku catuan bekalan air kepada penduduk Kerian.
“Setakat ini kita belum dimaklumkan tentang keadaan sebenar selepas tersebar desus desas kononnya bekalan untuk penggunaan domestik akan dicatu. Kita mengharapkan perkara itu tidak berlaku,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada solat sunat Istis’qa memohon hujan di Masjid Ar Rahmaniah di sini hari ini.
Solat sunat itu disertai 200 penduduk. Turut hadir Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.
Sementara itu, Razman Zakaria berkata, solat sunat memohon hujan hari ini yang ketiga dilakukan sebagai usaha penduduk di sini yang tidak berputus asa dalam melakukan amalan kerohanian berdoa meminta hujan.
Katanya, mereka berdoa supaya kemarau di daerah ini segera berakhir.
” Air di Empangan Tasik Bukit Merah merupakan nadi utama bagi Daerah Kerian kerana penggunaan airnya bukan hanya untuk pengairan sawah dan bekalan domestik.
“Ia juga digunakan oleh pihak perindustrian di Kamunting dan juga untuk kolam ternakan arowana di kawasan Bukit Merah,” katanya.
Bekalan air untuk sawah di beberapa kawasan di sini mula dihentikan pada 28 Jun yang lalu berikutan paras air Tasik Bukit Merah surut disebabkan cuaca panas. – UTUSAN











