Kenapa tibi masih belum pupus?

Kenapa tibi masih belum pupus?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“DOKTOR, bukankah tibi atau batuk kering sudah pupus?

Persoalan itu sering ditanyakan masyarakat kepada pengamal perubatan.

Namun, hakikatnya, sehingga kini, penyakit tuberkulosis belum pupus, bahkan masih terus
menghantui kita.

Pada 2020, kadar insiden tuberkulosis di Malaysia adalah 72 daripada 100,000 populasi dan jumlah itu menurun berbanding 79 daripada 100,000 populasi yang direkodkan pada 2015.

Berdasarkan sejarah, penyakit ini mula dikesan sejak 9,000 tahun lalu di Atlit Yam, iaitu sebuah bandar yang kini tenggelam di Laut Mediterranean di persisiran Israel.

Manuskrip mengenai tuberkulosis pula wujud sejak 3,300 tahun lalu di India manakala di China (2,300 tahun lalu).

Sehingga kini, sebahagian besar tugas pakar respiratori di Malaysia adalah berkisar tentang pengesanan, perawatan dan pencegahan penyakit tersebut.

KENALI TIBI
Penyakit tibi atau batuk kering disebabkan oleh bakteria tibi (Tubercle Bacillus) yang biasanya
menjangkiti paru-paru.

Ia juga boleh menyerang bahagian-bahagian lain seperti otak, usus, tulang, kelenjar, kulit dan buah pinggang.

Berikut adalah beberapa senario untuk mengenali secara mendalam tentang penyakit tuberkulosis:

SENARIO 1
Seorang guru mengalami batuk ringan, terutama pada waktu malam.

Sering demam tetapi masih boleh mengajar di samping aktif dalam pengajaran dan aktiviti di sekolah.

Simptom itu berlarutan sejak setahun lalu tetapi tiga bulan kebelakangan ini, selera
makan mula hilang.

Dia menyedari pakaian agak longgar dan apabila ditimbang, berat badannya menurun sebanyak 7
kilogram.

Sudah 10 klinik dikunjungi dan diberikan ubat termasuk antibiotik, tetapi sembuhnya hanya seketika.

Dia pulang ke kampung dan disahkan menghidap tuberkulosis pulmonari setelah beberapa ujian kahak
dan x-ray dibuat.

SENARIO 2
Seorang jurutera banyak berinteraksi dengan pekerja asing. Malah sering berulang-alik ke luar negara menguruskan projek syarikatnya di Myanmar, Bangladesh, India dan Indonesia.

Pada 2016, dia pernah dirawat sebagai pesakit tuberkulosis. Kali ini, dia sekali lagi mengalami
demam dan batuk berdarah selama 2 minggu.

Selepas menjalani beberapa ujian dan pemeriksaan bronkoskopi, dia disahkan mengalami penyakit tuberkulosis paruparu yang berulangan dengan komplikasi batuk berdarah.

SENARIO 3
Seorang juruteknik di sebuah kilang komputer kerap sesak nafas apabila berlari mengejar feri ketika pergi dan balik dari kerja.

Sejak 2 minggu lalu, dia makin sukar bernafas apabila tidur mengiring di sebelah kanan. Masalah
pernafasannya bertambah teruk dan terpaksa menggunakan empat bantal.

Pemeriksaan x-ray mendapati paru-paru kanannya dipenuhi air dan disahkan mengalami tuberkulosis pleura.

Ketiga-tiga senario di atas adalah antara contoh bagaimana pesakit boleh diserang penyakit
tuberkulosis dan komplikasi akibat lambat menerima rawatan.

Kuman tuberkulosis memasuki badan manusia melalui hidung dan mulut terus ke paru-paru.

GEJALA DAN RAWATAN
Pesakit demam, batuk, keletihan, berpeluh, kurang selera makan, hilang berat badan, sesak nafas dan batuk berdarah.

Kadang-kala, gejala penyakit ini sukar dikesan terutama bagi mereka yang rendah imuniti seperti
penghidap HIV, diabetes mellitus dan kanser.

Antara ujian awal yang dilakukan ialah x-ray dada, pemeriksaan kahak dan ujian mantoux manakala
pemeriksaan lanjutan adalah kultur kahak AFB dan pemeriksaan DNA secara PCR (genexpert study).

Jika pesakit tidak dapat mengeluarkan kahak, maka pemeriksaan salur pernafasan dengan menggunakan kaedah beroptik bronkoskopi juga boleh dijalankan.

Dengan kaedah ini, lavage dan biopsi salur pernafasan boleh diambil.

Pemeriksaan lain ialah pleuroskopi, biopsi dan pemeriksaan cecair rongga selaput paru-paru

Rawatan tuberkulosis memakan masa antara 6 hingga 12 bulan bergantung kepada lokasi jangkitan
kuman.

Pengambilan ubat antibiotik rifampicin, isoniazid, ethambutol dan pyrazinamide selama dua bulan diikuti dengan rifampicin dan isoniazid selama empat bulan adalah rejim standard untuk menyembuhkan tuberkulosis.

Kepatuhan kepada rawatan amat penting untuk memastikan pesakit sembuh sepenuhnya.

Kuman tuberkulosis mampu menjadi resistant/mangli kepada rawatan dan mampu menyebabkan
komplikasi yang serius.

Bersama kita mengesan penyakit ini supaya terhindar dari komplikasi berbahaya.

-Penulis ialah pakar perubatan respiratori, KPJ Penang Specialist Hospital, Dr. Mustafa Kamal Razak -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya