ALOR SETAR: Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Mohd. Daud Bakar mengesahkan pasukan itu berdepan masalah aliran tunai yang menyebabkan gaji barisan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan tertunggak beberapa bulan kebelakangan ini.
Sehubungan itu, Mohd. Daud memohon maaf kepada semua pihak terlibat termasuk ahli keluarga pemain serta penyokong dan peminat KDA berikutan persembahan pasukan yang kurang memberangsangkan berpunca daripada masalah itu.
Katanya, beliau sebagai pemilik mengambil sepenuhnya tanggungjawab di atas masalah kewangan dihadapi KDA kerana menyifatkan pengurusan sebuah kelab bola sepak tidak ubah seperti menguruskan sebuah syarikat.
“Kadang-kala, sebahagian percaturan, pendanaan dan pemasaran tidak berlaku seperti dirancang sedangkan sumber pendapatan terhad iaitu hanya sumbangan pemegang saham, penajaan serta hasil penjualan tiket dan barangan rasmi kelab, tanpa sokongan kerajaan negeri.
“Semua itu amat mencabar untuk dilaksanakan namun saya ingin jelaskan ini bukan kesalahan mana-mana individu sama ada Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain; Ketua Pegawai Eksekutif, Khamal Idris Ali atau mana-mana individu dalam pasukan.
“Mereka telah melakukan perkara yang sepatutnya, malah melebihi sukatan dan batasan biasa,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd. Daud berkata, setakat semalam pihaknya telah menyelesaikan separuh daripada pembayaran gaji Ogos untuk semua pegawai dan pemain dengan perancangan untuk melunaskan gaji bulan itu sebelum 7 November ini.
“Insya-Allah situasi ini kita sedang atasi dengan pelbagai cara dan kami sasar pembayaran gaji akan kembali normal Disember ini. Sehingga tempoh itu, kami akan sentiasa memastikan supaya pembayaran gaji tidak tertunggak melebihi dua bulan,” katanya.
Ditanya punca sebenar masalah aliran tunai itu, Mohd. Daud menafikan persepsi ditimbulkan di media sosial kononnya perkara itu disebabkan ketirisan atau ada penaja yang menarik diri.
“Puncanya adalah ‘missmatch’ iaitu pendapatan bulanan kurang daripada perbelanjaan tetapi ingin saya tegaskan, tiada penaja yang menarik diri. Cuma ada kalanya pembayaran dijanjikan itu terlewat dan dibuat sedikit demi sedikit namun, mereka beri komitmen untuk selesaikan penajaan seperti dijanjikan.
“Kadang-kala pihak-pihak yang menaja ini ada masalah mereka tersendiri tetapi saya tak mahu sentuh secara terperinci dalam hal itu kerana kami perlu hormati mereka,” katanya.-UTUSAN