KUALA KRAI: Pengalaman tertinggal kereta api menjadi ‘asam garam’ yang perlu dihadapi oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong di sini.
Mana tidaknya, perkhidmatan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Antarabandar menjadi nadi pengangkutan utama buat pelajar yang tinggal Kampung Kemubu, Bukit Abu, Slow Pok Long, Ulu Temiang dan Kuala Gris untuk ke sekolah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Mifzal Azfar Abdul Hafiz, 16, dari Kampung Slow Pok Long mengakui dia pernah tidak ke sekolah akibat terlepas kereta api.
“Situasi ini berlaku disebabkan saya terlewat bangun tidur dan kereta api adalah pengangkutan utama ke sekolah. Jika terlepas, saya tidak dapat ke sekolah pada hari tersebut,” katanya yang sudah empat tahun menggunakan khidmat kereta api untuk ke SMK Dabong.
Muhammad Miifzal Azfar berkata, setiap hari dia akan bangun seawal pukul 5 pagi untuk bersiap ke sekolah.
Katanya, dia perlu berada di stesen pada pukul 6 pagi bagi mengelak tertinggal kereta api.
“Awal-awal dahulu agak sukar untuk saya ikut jadual, namun selepas melaluinya setiap hari ia menjadi rutin,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Che Nazirah Hamid, 17, yang sudah lima tahun menggunakan perkhidmatan kereta api berkata, dia juga pernah terlepas tren ke sekolah disebabkan terlewat bangun tidur.
Katanya, sejak itu dia sentiasa berwaspada dengan mengunci jam bagi mengelak dia ditinggalkan kereta api seterusnya gagal ke sekolah.
Sementara itu, pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan ETS dan Antarabandar KTMB, Mohd. Azhar Abu Bakar berkata, suasana pelajar menaiki kereta api ke sekolah di Dabong disifatkan sebagai antara yang paling unik dan meriah di negara ini.
Katanya, setiap hari dianggarkan antara 100 hingga 150 pelajar menggunakan perkhidmatan kereta api untuk ke SMK Dabong.
“Mereka menaiki perkhidmatan kereta api secara percuma menerusi Program MyRailLife yang disediakan oleh KTMB,” ujarnya semasa ditemui pemberita pada Program KTMB Santuni Pelajar Sekolah Wilayah Pantai Timur sempena Hari Pertama Persekolahan 2026, semalam. – UTUSAN











