Jemaah berjaya kes rayuan giliran awal perlu bayar penuh kos haji

Jemaah berjaya kes rayuan giliran awal perlu bayar penuh kos haji

MOHD. Na'im Mokhtar melancarkan aplikasi e-Bimbingan Haji di Sepang, Selangor. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Mana-mana bakal jemaah haji yang belum sampai lagi giliran menunaikan ibadah itu namun berjaya dalam kes rayuan perlu membayar penuh kos menunaikan ibadat itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ini kerana mereka dianggap sebagai berkemampuan dari segi kewangan.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan jemaah dalam kategori B40 yang menerima panggilan pada giliran semasa masih menerima bantuan kewangan seperti biasa, manakala jemaah kumpulan M40 pula perlu menjelaskan sebanyak RM15,980 dan baki amaun selebihnya ditanggung kerajaan.

Beliau pada masa sama berharap lebih ramai bakal jemaah haji yang dapat tawaran giliran pada musim depan tampil secara sukarela membayar penuh kos menunaikan ibadah fardu itu termasuk golongan B40.

“Pada musim haji lepas, seramai 69 jemaah B40 daripada keseluruhan 400 jemaah menolak untuk menerima bantuan kewangan TH. Mereka sanggup membayar penuh kos berjumlah RM30,850 walaupun dari segi merit layak mendapat subsidi agensi itu dan hanya perlu membayar RM10,980.

“Malahan saya difahamkan, sebahagian besar daripada 300 jemaah terbabit ada membuat sumbangan antara RM1,000 sehingga RM12,000 kerana memahami konsep istito’ah.

“Justeru, saya berharap pembimbing dan pengkursus ibadah haji agar aktif dalam memberikan pencerahan secara berhikmah mengenai konsep kemampuan kewangan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-40 di sini hari ini.

Pada program ini, beliau turut melancarkan aplikasi e-Bimbingan Haji untuk bakal jemaah menambahkan pengetahuan ibadah itu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Muhammad Al Rabiah bakal melawat ke negara ini sekali lagi bagi meninjau persiapan operasi haji di Malaysia sekali gus membuktikan pelbagai siri kursus dianjurkan Tabung Haji (TH) selama ini memberikan banyak manfaat.

Malah ketika beliau sendiri menunaikan ibadah tersebut secara muassasah pada musim lalu, pihak Arab Saudi memuji pengetahuan jemaah Malaysia berbanding negara lain.

“Justeru lawatan menteri berkenaan sebenarnya membuktikan pengiktirafan negara itu ke atas proses bimbingan haji Malaysia yang agak sistematik dan wajar dicontohi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya