Hamster, haiwan kecil mudah stres - Utusan Malaysia

Hamster, haiwan kecil mudah stres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“MASA mula-mula pegang hamster memang geli, tetapi lama-kelamaan sudah biasa. Berbanding tikus, hamster lebih comel dan bukan haiwan perosak.”

Itu perkongsian pekerja kedai haiwan peliharaan, Nur Amirah Mohd. Azmi mengenai haiwan berbulu kecil yang jinak dan sering menjadi pilihan untuk dibela di negara ini.

Hampir dua tahun bekerja di Hyper Pets di Batu 9, Cheras, katanya, menjadi rutin setiap pagi untuk membersihkan sangkar yang menempatkan lebih 30 hamster atau tikus belanda di premis yang turut menjual makanan, sangkar dan aksesori kucing itu.

“Habuk kayu yang menjadi tempat tidur dan tisu sebagai tempat buang air hamster perlu selalu ditukar kerana haiwan ini sukakan persekitaran bersih,” katanya.

Hamster juga perlu dibersihkan dengan serbuk mandian berwarna putih pada setiap hari agar ia sentiasa kelihatan segar dan tidak menimbulkan bau kurang menyenangkan.

“Selalunya, saya letak hamster dalam sangkar yang diletakkan serbuk mandian.

“Kemudian, ia akan bergolek-golek di dalam itu. Tiada tempoh tertentu untuk bersihkan hamster, agak-agak sahaja dalam beberapa minit janji ia sudah bersih,” katanya.

MUDAH DIBELA
Ramai tertarik dengan kecomelan aksi haiwan ini, namun seperti haiwan belaan lain, ia turut memerlukan penjagaan rapi.

“Janji ada jagung, kuaci, salad atau makanan kucing pun boleh. Hamster juga sangat sesuai dengan suhu bilik asalkan tidak panas atau sejuk sangat.

“Dari segi tempat simpanannya, lebih luas adalah lebih baik. Sekurang-kurangnya mampu menempatkan aksesori untuk haiwan itu bersenam, dikenali sebagai hamster wheel, bekas makanan serta minuman,” katanya.

Ada empat jenis baka hamster yang dijual di premis berkenaan, antaranya Syrian, Syrian Panda, Winter Gold dan Roborovski dengan usia dalam lingkungan satu hingga tiga bulan.

 

MUDAH STRESS
Kongsinya, haiwan berkenaan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan terutama jenis Syrian.

“Syrian ni saiznya tidak terlalu kecil dan mudah dijinakkan.

“Harga yang dijual pula dalam lingkungan RM12 hingga RM14 seekor,” kongsinya yang turut dibantu enam staf lain.

Di sebalik kecomelan hamster, ada juga ‘sisi gelapnya’ yang mana ia mudah stres dan tertekan, lebih-lebih lagi apabila bertukar tempat dan suasana baharu.

Bagi mengelakkan si comel itu cepat stres, pemilik perlu membiarkan hamster beberapa hari dengan persekitaran sangkar baharu.

“Letakkan sangkar mereka di kawasan yang lebih tenang seperti laman atau bilik tidur. Jangan lupa untuk beri makan dan air secukupnya.

“Untuk memastikannya jinak dan baik, ia perlu banyak bersosial dengan tuannya. Ini bermakna pemilik perlu memberi pengendalian yang kerap dan lemah-lembut.

“Jangan sesekali memaksa atau bertindak kasar terhadap hamster,” kongsinya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya