Datuk didakwa tipu wanita RM665,000 

Datuk didakwa tipu wanita RM665,000 

TERTUDUH tengah diiring polis semasa hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang lelaki berpangkat Datuk yang merupakan pengarah sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu pengarah urusan sebuah akademi memandu melibatkan urus niaga penjualan sarung tangan getah tidak wujud sehingga mangsa kerugian RM665,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Syafiq Pubalan Abdullah, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya Noor Haslina Abdullah, 52, untuk membuat tempahan dan bayaran lima peratus deposit untuk 20,000 kotak sarung tangan yang tidak wujud bernilai RM31,000.

Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Syafiq didakwa memperdaya mangsa sama untuk membuat bayaran tambahan sebanyak 50 peratus deposit tempahan sebanyak RM310,000 secara pindahan ke dalam sebuah akaun bank untuk 20,000 kotak sarung tangan yang tidak wujud.

Lelaki itu turut didakwa memperdaya wanita tersebut untuk membuat bayaran baki harga tempahan 20,000 kotak sarung tangan yang tidak wujud bernilai RM279,000 secara pindahan ke dalam sebuah akaun bank.

Selain itu, Muhammad Syafiq didakwa mempedaya mangsa sama yang menyerahkan wang sebanyak RM45,000 secara pindahan ke dalam sebuah akaun bank dengan dokumen palsu dua buah syarikat untuk membuat tempahan sarung tangan getah yang tidak wujud.

Keempat-empat kesalahan itu dilakukan olehnya di Akademi Memandu Kist di Kandis, Bachok dekat sini bermula 25 Mei sehingga 7 Julai 2020.

Muhammad Syafiq didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Taufikrullah Rusli dan Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.

Terdahulu, Abu Arsalna mencadangkan ikat jamin sebanyak RM100,000 terhadap keempat-empat pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 untuk kesemua pertuduhan yang dihadapi Muhammad Syafiq selain menetapkan 9 November depan untuk sebutan semula kes. 

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya