Syed Saddiq tarik sokongan dari kerajaan tidak beri kesan

Syed Saddiq tarik sokongan dari kerajaan tidak beri kesan – Anthony Loke 

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan Ahli Parlimen Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik sokongan terhadap kerajaan Persekutuan tidak memberi sebarang kesan walaupun telah hilang sokongan majoriti dua pertiga.

Sehubungan itu, katanya, tidak timbul kegusaran apabila Syed Saddiq enggan lagi menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.  

“Tidak beri kesan,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini. 

Ahli Parlimen Seremban itu berkata demikian ditanya pemberita jika kerajaan tergugat dengan keputusan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu.  

Pada Ahad minggu lalu, Muda mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan menyertai blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Ia sebagai tanda bantahan terhadap keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.  

Semalam di Dewan Rakyat, Syed Saddiq dilihat berseorangan tanpa diapit ahli-ahli Parlimen lain setelah kerusinya dipindahkan ke blok pembangkang di kerusi bahagian belakang bernombor E38.  

Pada asalnya, semasa berada di blok kerajaan, kerusi Syed Saddiq yang bernombor D7, berada di kedudukan paling strategik di bahagian tengah barisan kedua blok kerajaan, bersebelahan dengan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo.  

ANTHONY LOKE

Pada Persidangan Tahunan DAP 2023 di Putrajaya, Ahad lalu, Siew Fook memberi amaran kepada Syed Saddiq bahawa kemenangannya di Muar disebabkan sokongan oleh pengundi Pakatan Harapan (PH) bukan atas kapasitinya sendiri.

“Saya mahu beri amaran kepada Syed Saddiq bahawa kemenangannya di Muar adalah atas persefahaman kerjasama dengan PH. Dia tidak menang di Muar atas kapasiti partinya sendiri. Dia menang atas sebab persefahaman dengan PH.

“Kita tidak letak calon kita di sana (Muar), malah DAP dan PH sokong serta bantu kempen beliau ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,” katanya seperti dilaporkan sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya