PETALING JAYA: Prestasi semasa skuad Bawah 23 Tahun (B23) negara yang melakar kemenangan dua kali berturut-turut dalam saingan Kelayakan Piala Asia B23 ternyata menjadi motivasi besar kepada mereka untuk bertemu Thailand, esok.
Malaysia dan Thailand yang diundi dalam Kumpulan H, masing-masing berkongsi enam mata, namun negara jiran itu memiliki kelebihan kerana berjaya meraih slot automatik ke pusingan akhir menerusi perbezaan jaringan.
Penyerang Harimau Muda, T. Saravanan berkata, dia dan rakan sepasukan perlu beraksi lebih baik dalam perlawanan bertemu Juara Piala AFF 2022 itu kerana pasukan tuan rumah tersebut pastinya akan menggunakan tonik tambahan selaku tuan rumah untuk menampilkan cabaran hebat berbanding Bangladesh dan Filipina.
“Kita raih keputusan positif ke atas Filipina tetapi kita harus beraksi lebih baik bagi mendapatkan kemenangan ke atas Thailand nanti.
“Kita perlu kutip tiga mata untuk layak ke pusingan akhir. Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan kepada pemain,” katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Seri Shahril Mokhtar yakin, kemenangan tanpa bolos bertemu Filipina kelmarin menjadikan para pemain berada di landasan yang baik untuk memberi saingan hebat kepada Thailand.
“Saya ucapkan tahniah kepada pemain kerana telah berusaha keras malam ini (kelmarin), dengan jaringan 4-0. Kita akan bertemu Thailand, satu pasukan yang kuat tetapi saya yakin semua pemain dalam keadaan baik dan semangat juang tinggi,” katanya.
Sabtu lalu, dalam aksi yang berlangsung di Stadium Chonburi, Saravanan yang juga pemain KL City FC berjaya membantu skuad membenam Filipina 4-0 dengan menyumbat dua gol.
Terdahulu, dalam aksi sulung Kumpulan H menentang Bangladesh, skuad bimbingan E. Elavarasan meraih kemenangan 2-0, menjadikan jumlah keseluruhan kini adalah enam gol dalam dua perlawanan dan belum dibolosi.
Untuk mara ke Piala Asia B23 2024 di Qatar, hanya 11 juara kumpulan berserta empat pasukan terbaik yang menduduki tempat kedua kumpulan akan layak ke kejohanan berprestij itu yang dijadual berlangsung Januari tahun hadapan.-UTUSAN