Sang Penyu rombak kesebelasan utama hadapi Selangor

Sang Penyu rombak kesebelasan utama hadapi Selangor

PEMAIN Terengganu FC menjalani latihan – IHSAN TERENGGANU FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) akan merombak kesebelasan utamanya pada aksi Liga Super bertemu Selangor di laman sendiri, malam esok, ekoran masalah kecederaan beberapa tonggak.

Menurut jurulatih Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner, sekurang-kurangnya lima pemainnya berdepan masalah kecederaan dan kecergasan susulan jadual padat sejak dua minggu lalu.

Antaranya pemain sayap, Sony Norde, Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim, Norhakim Hassan, Engku Nur Shakir Engku Yacob dan tonggak pertahanan, Shahrul Nizam Roshasni.

Malah pengendali kelahiran Croatia itu mengakui rombakan itu perlu dibuat bagi menghadapi aksi Piala AFC bertemu Bali United, Rabu ini, yang lebih diberi keutamaan oleh Terengganu.

“Akan ada beberapa muka baharu dalam kesebelasan utama, Jumaat ini (esok), kerana saya tidak mahu mengambil risiko tahap kecergasan lima atau enam pemain utama kami.

“Tempoh genting ini akan menguji karakter pemain Terengganu namun saya berharap siapa pun yang diturunkan akan mengambil peluang bukti kemampuan dan memberi persembahan 100 peratus.

“Piala AFC dan Piala Malaysia lebih menjadi keutamaan buat Terengganu ketika ini berbanding Liga Super. Jadi, saya akan menukar strategi bertemu Selangor sebelum ke Indonesia,” katanya ketika ditemui, semalam.

Berbaki lima perlawanan, Terengganu menghuni tangga keenam liga mengumpul 35 mata, dengan peluang masih belum tertutup memburu sekurang-kurangnya tiga kedudukan terbaik.

Jelas Steinbruckner lagi, meskipun turun dengan skuad tempang, beliau tetap menuntut anak-anak buahnya mengekalkan rekod tanpa kalah sejak 12 perlawanan lalu dalam semua pertandingan.

Menurutnya, pemain yang akan diturunkan esok tidak boleh menganggap pertemuan dengan Selangor sebagai tidak penting walaupun kemenangan belum dapat mengubah kedudukan Terengganu dalam liga.

“Kami ketinggalan lima mata di belakang Sri Pahang dan mungkin ada pemain bersikap sambil lewa tetapi saya mengingatkan mereka agar membalas kepercayaan dengan aksi terbaik.

“Selain meningkatkan moral, kemenangan ke atas Selangor malam esok adalah persiapan ideal menjelang aksi Piala AFC dan separuh akhir Piala Malaysia bulan depan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN