PETALING JAYA: Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) bersetuju mengembalikan lukisan bernilai lebih AS$30 juta (RM140 juta) dalam usaha pemulihan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM dalam kenyataan berkata, perkara itu dipersetujui hasil dua siri perbincangan rasmi bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan DOJ AS yang berlangsung di Washington DC dan New York pada 9 dan 11 Disember lalu.
Katanya, perbincangan bertujuan memperkukuh kerjasama penyiasatan, proses bantuan perundangan bersama (MLA) serta usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB yang masih berada di luar negara.
“Antara perkara-perkara utama yang dibincangkan adalah berkaitan pemulihan aset 1MDB melibatkan usaha mengembalikan lukisan-lukisan bernilai tinggi yang telah dibeli Jasmine Loo dan kini berada di bawah kawalan DOJ.
“Hasil perbincangan ini, DOJ bersetuju untuk mengembalikan lukisan ini kepada Malaysia melalui SPRM.
“Dianggarkan 12 lukisan milik Jasmine Loo yang dipegang oleh Christie’s dan Sotheby’s Auction House AS,” katanya.
Perbincangan yang diketuai Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin turut dihadiri Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd. Jamil dan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara (AGC), Norinna Bahadun.
Turut dibincangkan adalah isu penyanyi rap, Pras Michel di AS yang dijatuhi hukuman 14 tahun penjara kerana menerima AS$120 juta (RM564 juta) yang mana sebahagiannya berkaitan 1MDB dan 1MDB shell companies.
Katanya, pihak DOJ AS juga memaklumkan, masih terdapat aset-aset milik Jho Low di Singapura yang tidak termasuk dalam Perjanjian Penyelesaian AS.
“Sementara itu, aset di Hong Kong, Singapura dan Perancis telah dilupuskan dan hasilnya akan dipindahkan ke AS,” katanya.
SPRM berkata, antara isu-isu lain yang turut dibincangkan adalah melibatkan Tim Leissner, Tarek Obaid dan PetroSaudi, Riza Aziz dan White and Case. – UTUSAN











