PETALING JAYA: Pasukan skuasy kebangsaan lelaki dan wanita yang membuka aksi mereka pada Sukan Asia di Hangzhou, China tidak berdepan masalah untuk mengutip mata penuh dalam dua perlawanan peringkat kumpulan di Pusat Sukan Olimpik, hari ini.
Skuad wanita yang terlebih dahulu turun ke gelanggang pada sebelah pagi, mudah membenam Nepal 3-0 dalam aksi Kumpulan B.
Menggunakan format 3-1-2, naib juara remaja dunia, Aira Azman yang diletakkan sebagai perseorangan ketiga melakar kemenangan straight set 11-3, 11-1, 11-6 ke atas Swasthani Shrestha.
Kakak Aira, Aifa yang turun sejurus selepas itu turut mengharungi satu pertemuan mudah apabila menundukkan Bipana Bhlon 11-2, 11-5, 11-6.
Rachel Arnold yang memegang status sebagai perseorangan kedua melengkapkan kemenangan Malaysia ke atas Krishna Thapa 11-5, 11-5, 11-4.
Dalam perlawanan kedua menentang Pakistan yang dilangsungkan pada pukul 4.30 petang tadi, turut menyaksikan skuad negara mengetepikan Pakistan 3-0 dengan Aira yang sekali lagi menggalas tugas sebagai perseorangan ketiga mudah menewaskan Mehwish Ali 11-5, 11-6, 11-3.
Pembawa Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia, S. Sivasangari turut mencatat kemenangan straight set ke atas Noor Ul Huda Sadiq 11-2, 11-6, 11-5 bagi memastikan kemenangan skuad negara 2-0.
Rachel yang turun sebagai pelengkap jadual perlawanan, menjadikan kedudukan 3-0 selepas mengalahkan Noor Ul Ain Ijaz 11-0, 11-3, 11-3.
Sementara itu, dalam saingan berpasukan lelaki Kumpulan B, Malaysia yang berdepan Filipina turut mencipta kejayaan 3-0 dengan Mohamad Syafiq Kamal, Ng Eain Yow dan Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar meraih kemenangan dalam perlawanan masing-masing.
Syafiq menundukkan Reymark Begornia 11-7, 11-6, 11-6, manakala, Eain Yow menewaskan Robert Andrew Garcia 11-3, 11-7, 11-4 dan Addeen mengalahkan David William Pelino 11-5, 11-2, 11-4.
Untuk perlawanan kedua, Malaysia yang berdepan Korea Selatan meneruskan rentak kemenangan 3-0, dengan Adden menumpaskan Lee Dong Jun 11-8, 11-6, 11-7.
Eain Yow pula yang diletakkan sebagai perseorangan pertama mengambil masa 32 minit mengetepikan cabaran Yoo Jae Jin 11-7, 11-4, 11-9.
Bagaimanapun, pemain veteran, Ivan Yuen dipaksa berhempas pulas selama lebih sejam sebelum menundukkan Lee Min Woo 12-14, 11-7, 11-6, 14-12.
Esok, skuad wanita hanya memiliki satu perlawanan bertemu Macau, manakala, pasukan lelaki bakal berdepan Jepun dan Thailand. -UTUSAN