KUALA LUMPUR: Tewas dalam aksi pembukaan, Malaysia menggalas misi berat memburu kemenangan ke atas Jerman pada perlawanan kedua Kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia (WDFC) ke-4 di Stadium Arena UM, hari ini.
Jurulatih skuad negara, Muhamad Haris Lajid berkata, dia menggesa anak-anak buahnya agar mempamerkan persembahan yang lebih yakin dan berani berdepan lawan mereka itu.
“Saya akui pemain-pemain berasa gementar sewaktu berdepan Amerika Syarikat (AS), jadi, saya mahu menentang Jerman mereka kena lebih berani.
“Kualiti yang dimiliki para pemain Malaysia tidak jauh berbeza dengan pasukan lawan, ini dapat dilihat sewaktu kita bangkit dalam babak kedua menentang AS,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.
Jerman turut membawa misi sama untuk memburu kemenangan sulung selepas mereka tumpas kepada Mesir 1-3, kelmarin.
Menurut Haris, beliau sempat menyaksikan perlawanan antara Jerman menentang Mesir dan yakin para pemainnya mampu mengharungi tugas berat, hari ini.
Jelasnya, apa yang penting barisan pemain negara tidak mengulangi kesilapan sama sewaktu bertemu AS dan mengekalkan taktikal yang telah disusun.
“Saya harap mereka buang perasaan gugup dan jangan berasa rendah diri menentang pencabar yang memiliki fizikal lebih besar kerana para pemain saya mempunyai kualiti yang mampu menghadirkan ancaman kepada lawan,” ujarnya.
Malaysia yang tampil buat kali pertama dalam WDFC, mempamerkan persembahan yang berkualiti sewaktu menentang AS terutama dalam babak kedua permainan yang menyaksikan pasukan negara tewas tipis 2-3.
Malaysia tidak mempunyai pilihan lain, jika berhajat untuk melepasi peringkat kumpulan iaitu mereka perlu memburu kemenangan dalam dua baki pertemuan menentang Jerman dan Mesir.-UTUSAN