MILAN: Eddie Howe yakin Newcastle akan bangkit mencaji pencabar dalam Liga Juara-Juara Eropah selepas kepulangan mereka ke pertandingan berprestij itu selepas 20 tahun mencatatkan keputusan seri dengan gergasi Itali AC Milan.
Pasukan Howe kembali ke saingan kelab elit Eropah selepas menduduki tempat keempat dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu, dan ini adalah perlawanan pertama mereka dalam Kumpulan F, kumpulan sukar yang turut disertai juara Perancis Paris St-Germain dan gergasi Jerman Borussia Dortmund.
Mereka diberi amaran tentang kesukaran perlawanan dalam pertandingan ini ketika Milan menguasai separuh masa pertama, dengan Nick Pope menyelamatkan cubaan Olivier Giroud dan Theo Hernandez, tetapi nasib menyebelahi mereka kerana dapat bertahan untuk memastikan membawa pulang satu mata berharga.
Bagi kebanyakan pemain Newcastle – dan untuk Howe sendiri – ini adalah pengalaman pertama mereka dalam bola sepak Liga Juara-Juara dan bos Magpies itu percaya ia boleh memberikan pengalaman dan pembelajaran yang berharga.
“Anda tidak boleh memandang rendah kesukaran untuk datang ke sini – emosi permainan, pengalaman baharu, kami terpaksa belajar banyak perkara hari ini,” kata Howe.
“Saya fikir penonton Milan sangat bagus. Pemain perlu menyesuaikan diri dengan suasana itu dan itulah sebabnya saya tidak fikir anda boleh memandang rendah prestasi dan mata yang kami perolehi.
“Ia akan kelihatan lebih baik selepas ini dan kami akan bertambah baik seiring dengan masa. Terdapat pengalaman baharu untuk ramai daripada kami malam ini dan semoga kami boleh bangkit daripada ini.” – BBC