MANCHESTER: Jaringan Raphael Varane pada lewat permainan menyelamatkan Manchester United daripada keciciran mata dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris dengan menundukkan Wolverhampton 1-0 awal pagi tadi.
Varane menanduk hantaran lintang Aaron Wan-Bissaka pada minit ke-76, sekali gus melegakan penyokong yang seketika cemas melihat Wolverhampton melancarkan beberapa percubaan bahaya.
Minggu lalu Wolverhampton berdepan masalah serius dengan menjual beberapa tonggak, manakala pengurus mereka, Julen Lopetegui meninggalkan kelab sebelum digantikan oleh bekas bos Bournemouth, Gary O’Neil lima hari lalu.
Begitupun, mereka memulakan kempen dengan meyakinkan, lebih banyak mencipta peluang, dan sepatutnya berhak memenangi perlawanan.
Pasukan itu juga berdepan rayuan untuk mendapatkan sepakan penalti pada lewat permainan tetapi ditolak oleh video bantuan pengadil (VAR) di Old Trafford.
Penjaga gol baharu United, Andre Onana bertembung dengan pemain gantian lawan, Sasa Kalajdzic ketika cuba menyelamatkan bola hantaran lintang.
Begitupun pengadil, Simon Hooper meneruskan permainan selepas merujuk VAR, sekali gus mencetus kemarahan O’Neil.
Tiga mata yang diraih United berbeza dengan situasi perlawanan pembuka tirai 12 bulan lalu apabila mereka mengalami dua kekalahan ketika Erik ten Hag baru memimpin kelab itu.
Bagaimanapun prestasi United mencetuskan persoalan sama ada mereka boleh memberikan cabaran serius untuk meraih gelaran Liga Perdana kali pertama selepas satu dekad.
“Tiada perlawanan mudah dalam Liga Perdana, begitu juga bertemu Wolves.
“Anda perlu berjuang dalam setiap perlawanan. Kami berharap akan menjadi lebih baik pada perlawanan seterusnya,” kata Ten Hag. – AGENSI