LONDON: Layangan kad merah yang diterima oleh Alexis Mac Allister ketika menentang Bournemouth, Sabtu lalu dibatalkan selepas Liverpool memenangi rayuan mereka.
Bintang Piala Dunia Argentina itu menerima kad merah terus daripada pengadil, Thomas Bramall kerana menjatuhkan pemain Bournemouth, Ryan Christie pada minit ke-58 ketika Reds mendahului 2-1. Liverpool kemudian menang 3-1.
Mengikut kesalahan, Mac Allister sepatutnya digantung tiga perlawanan seterusnya menentang Newcastle United, Aston Villa dan Wolverhampton tetapi dia tidak lagi akan menjalani penggantungan.
“Jawatankuasa undang-undang bebas membatalkan penggantungan tiga perlawanan ke atas Alexis Mac Allister berikutan dakwaan kesilapan kad merah.
“Pemain tengah Liverpool itu dibuang padang kerana kekasaran yang serius ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Bournemouth pada Sabtu, 19 Ogos,” kata jurucakap Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris.
Liverpool mengulas keputusan FA Inggeris itu dengan berkata: “Rayuan kelab ke atas penggantungan mendapat sokongan jawatankuasa bebas, bermakna Mac Allister boleh beraksi apabila Reds bertandang ke Newcastle United pada Ahad.” – AFPkad