Nahas pesawat: Polis ambil alih jika ada unsur jenayah

Nahas pesawat: Polis ambil alih jika ada unsur jenayah

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Polis akan mengambil alih siasatan lanjut terhadap nahas pesawat Beechcraft 390 dekat Persiaran Elmina di Shah Alam pada Khamis lepas sekiranya menerima dakwaan wujudnya unsur jenayah atau foul-play daripada Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini, polis sudah selesai melakukan siasatan di bawah klasifikasi kematian mengejut dan pengenalpastian identiti mangsa terlibat.

“Siasatan polis selesai, kita sudah pun rekod saksi-saksi awam semua, yang mana mungkin sebahagian daripada siasatan ini boleh digunakan oleh BSKU. Kita cuma menyiasat kematian, berapa ramai yang terlibat, kenal pasti mayat, setakat itulah, kalau ada foul-play itu polis akan siasat tetapi setakat ini tak nampak foul-play.

TUNGGU

“BSKU akan maklum, kalau nampak sesuatu (mencurigakan) mereka akan maklum, kemudian polis akan ambil alih (siasatan), kita sekarang tunggu makluman daripada BSKU,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau menambah, urusan memanggil wakil syarikat berkaitan dengan pesawat itu akan dilakukan oleh BSKU yang kini mendapat perkhidmatan pakar dari luar negara untuk menyiasat tragedi berkenaan.

Pada pagi tadi, pasukan penyiasat Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat, BSKU dan pengeluar pesawat telah tiba di lokasi nahas.

Kira-kira 15 anggota daripada tiga agensi itu tiba di lokasi kejadian pukul 8.15 pagi dan terus menjalankan siasatan nahas berkenaan serta memeriksa serpihan milik pesawat terbabit dan membawanya ke makmal untuk pemeriksaan lanjut.

Dalam pada itu, Hussein memaklumkan setakat ini tiada saksi baharu tampil untuk memberi keterangan dan berkongsi sebarang bahan seperti gambar dan video yang boleh menguatkan lagi siasatan polis.

Pada khamis lalu, 10 terkorban termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Subang.

Mangsa yang berada dalam pesawat seramai lapan orang terdiri daripada enam lelaki serta dua anak kapal termasuk seorang juruterbang manakala dua lagi merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada jalan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN