Kenanga Man of Steel Triathlon 163 tawarkan pengalaman Olimpik

Kenanga Man of Steel Triathlon 163 tawarkan pengalaman Olimpik

PESERTA-Peserta yang menyertai kejohanan edisi lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jika anda ingin merasai pengalaman cabaran sukan lasak triatlon seperti di Sukan Olimpik atau Ironman, Kenanga Man of Steel Triathlon 163 yang bakal berlangsung pada 5 dan 6 Ogos ini, mungkin mampu memenuhi impian anda itu.

Ini kerana, Kenanga Man of Steel Triathlon 163 yang kali pertama bakal dianjurkan di negara ini adalah cabaran bertaraf antarabangsa yang menawarkan keseimbangan jurang jarak antara Sukan Olimpik serta Ironman bagi tiga disiplin sukan iaitu berenang, berbasikal dan berlari.

Jika jarak berenang untuk Sukan Olimpik adalah 1.5 kilometer (km) serta 3.8km untuk Ironman, jarak bagi Kenanga Man of Steel Triathlon 163 adalah 3km. Acara berbasikal pula menyaksikan Kenanga Man of Steel Triathlon 163 menawarkan cabaran kayuhan sejauh 130km berbanding 40km untuk Olimpik serta 180km bagi Ironman.

Manakala bagi acara larian pula, Kenanga Man of Steel Triathlon 163 menetapkan jarak 30km berbanding 10km untuk Olimpik dan 42km bagi Ironman.

Dengan pembaharuan ditawarkan oleh Kenanga Man of Steel Triathlon 163, ia diharap dapat memberikan kepuasan maksimum kepada peserta tempatan serta antarabangsa, yang selama ini mungkin menyimpan impian untuk cuba mencabar diri masing-masing, sama seperti atlet profesional yang beraksi di Olimpik dan Ironman.

Kenanga Man of Steel Triathlon 163 yang kali pertama dibawakan khas oleh Kenanga Investment Bank Berhad, bakal berlangsung di Kompleks Sukan Air Putrajaya Presint 6, lokasi paling sesuai di mana ia mampu memenuhi cabaran berenang, berbasikal serta berlari.

Cabaran bermula dengan dua pusingan renang dengan jarak 3km di tasik sebelum diikuti kayuhan tiga pusingan sejauh 130km mengelilingi bandar Putrajaya yang menawarkan pelbagai bentuk muka bumi mencabar.
Ia akan diakhiri dengan acara larian dua pusingan sejauh 30km mengelilingi Tasik Putrajaya.

Kenanga Man of Steel Triathlon 163 menawarkan lapan kategori peringkat umur bagi lelaki iaitu 18 hingga 29 tahun, 30-39 tahun, 40-49 tahun, 50-59 tahun serta 60 tahun dan ke atas.

Kategori wanita pula adalah 18-34 tahun, 35-44 tahun serta 45 tahun dan ke atas, malah terdapat juga kategori terbuka untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

Terdapat juga acara lebih santai iaitu Aquathlon yang berlangsung pada 5 Ogos dan terbuka kepada kanak-kanak seawal usia 9 tahun serta orang dewasa.

Ketua Urus Niaga & Perniagaan Institusi, Chan Tuck Kiong berkata, perjalanan penajaan Kenanga dalam dunia triatlon bermula pada 2020.

“Kami juga merupakan penaja bagi siri triatlon pertama di Malaysia, yang membabitkan empat acara triatlon Jarak Olimpik diadakan di Putrajaya, Bandaraya Melaka, dan Port Dickson yang dinamakan Siri Triatlon Kenanga 2022.

Ia menyaksikan kejayaan dan sambutan yang memberangsangkan daripada peserta dan komuniti sekali gus meningkatkan semangat kami untuk memberi komitmen di peringkat seterusnya.

“Tahun ini, kami berbesar hati menjadi penaja utama untuk Kenanga Man of Steel 163 yang julung kali diadakan, triatlon yang merangkumi gabungan jarak 163km membabitkan disiplin renang, berbasikal dan larian.

“Acara luar biasa ini mempamerkan ketabahan, keazaman dan dedikasi yang luar biasa daripada para peserta kerana mereka perlu mengharungi cabaran fizikal dan mental yang amat sukar.

“Di Kenanga, kami sentiasa mengamalkan budaya disiplin dan dedikasi dalam mengejar kecemerlangan, dan kami melihat persamaan antara semangat triatlon dan prinsip teras perbankan pelaburan. Komitmen yang diperlukan untuk cemerlang dalam kedua-dua usaha adalah tiada tandingan, menjadikan triatlon sukan yang ideal untuk disokong dan cuba menjuarainya.

“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan luar biasa ini dan berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai individu untuk mencapai yang sehabis baik,” katanya.

Beliau menambah: “Menjadi penaja kepada Kenanga Man of Steel Triathlon 163 dan acara triatlon lain sememangnya antara cara Kenanga untuk memberi sumbangan kembali kepada masyarakat. Sebagai sebuah entiti korporat yang bertanggungjawab, kami amat percaya dalam memberikan kesan positif kepada komuniti yang kami berkhidmat, dan melibatkan diri dalam inisiatif yang melangkaui objektif perniagaan teras kami.

“Dengan menyokong acara seperti Kenanga Man of Steel Triathlon 163, kami secara aktif mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan individu. Acara ini memberikan platform unik untuk para peserta mempamerkan keazaman, ketabahan dan semangat mereka, memberi inspirasi kepada orang lain untuk mencapai kecemerlangan sama dalam aspek fizikal dan mental,” ujarnya.

Kenanga Investment Bank Berhad ialah bank pelaburan bebas terbesar di Malaysia yang ditubuhkan sejak lebih daripada 50 tahun lalu. Untuk maklumat lanjut boleh layari https://www.ticksweats.com/upcoming-events/kenanga-man-of-steel-triathlon-163.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya