KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri perlu mengenal pasti punca ramai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Sabah tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut pada tahun lalu.
Berdasarkan laporan hanya seramai 34,461 pelajar hadir menduduki peperiksaan SPM 2022, daripada 40,147 pelajar yang berdaftar.
Malah, Kementerian Pendidikan memaklumkan hanya 10,000 daripada 30,000 pelajar yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2022 mendaftar untuk ulangan peperiksaan berkenaan pada tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau memberi perhatian serius mengenai isu tersebut kerana SPM adalah peperiksaan penting untuk masa depan sebelum melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
“Justeru, berapa pun jumlah pelajar yang tidak menduduki SPM di negeri ini, ramai atau tidak, saya mahu Jabatan Pendidikan mengenal pasti kenapa mereka tidak hadir dan apa alasan mereka.
“Perkara ini membimbangkan kerana SPM adalah penting untuk pelajar mencorak masa depan mereka. Saya mahu pelajar dari Sabah yang tidak menduduki SPM 2022, ambil peluang untuk berbuat demikian pada tahun ini,” katanya pada majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) ke-34, hari ini.
Beliau berkata, seramai 40 pelajar terpilih menerima anugerah berkenaan pada tahun ini.
Menurut Hajiji, walaupun terdapat peningkatan 0.13 peratus dalam Gred Purata Nasional (GPN) keputusan SPM 2022 bagi negeri Sabah daripada 5.35 mata pada 2021 kepada 5.22 mata pada tahun 2022, namun ia masih jauh berbanding GPN kebangsaan iaitu 4.74.
Jika dilihat jurang antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini juga melebar daripada 0.53 mata pada 2021 kepada 0.61 mata pada tahun lalu.
“Kerajaan Negeri mengambil berat mengenai isu ini dan ia harus diteliti secara terperinci bagi mengenal pasti punca kelemahan-kelemahan yang wujud,” katanya.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, sejumlah RM668 juta telah dibelanjakan oleh Kumpulan Yayasan Sabah dalam pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi untuk manfaat 41,221 orang pelajar Sabah.
Jelas beliau, sehingga kini, seramai 715 orang pelajar telah mendapat manfaat daripada Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM124.4 juta.- UTUSAN