GOMBAK: Selepas Parlimen Gombak, pengundi Hulu Kelang mesti menyingkirkan ‘pengkhianat’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos ini.
Tanpa menyebut nama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat gesaan itu di hadapan lebih 2,000 penyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) merangkumi pelbagai kaum yang memenuhi Padang Taman Permata di sini, malam tadi.
Dengan memetik kisah Raja Mendeliar dan Si Kitol, Anwar menggesa pengundi menolak ‘pengkhianat’ dengan memilih calon Pakatan Harapan (PH), Juwairiya Zulkifli dalam kertas undi kelak.
“Saya kenang sejarah Melayu yang menyebut orang yang khianat harus pertama sekali dihukum mati dengan disula.
“Anak muda mungkin tidak tahu apakah hukuman sula. Buluh diambil dan cucuk daripada bawah sampai ke mulut, sula sampai mati. Selepas itu rumah dibakar hangus dan tapak tanah rumah itu dicangkul serta dicampak ke laut,” katanya.
Juwairiya ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang yang pernah menjadi Timbalan Presiden PKR sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2020.
Terdahulu, Anwar memaklumkan beliau selaku Presiden PKR mengambil keputusan meletakkan seorang pemimpin wanita PKR agar dapat mengalahkan Mohamed Azmin seperti mana pernah berlaku ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang mana bekas Menteri Kanan Ekonomi itu tumbang.
“Kita hantar pemimpin wanita, saya fikir tempat ini kena menang. Saya letak tokoh mudah untuk patahkan Mohamed Azmin. Saya bagi arahan kepada Amir (Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari) letak Juwairiya. Saya nak Hulu Kelang ajar bagaimana jadi dekat Gombak,” ujarnya.
Terdahulu, kehadiran Anwar di Hulu Kelang sebagai usaha meraih sokongan bagi melawan Mohamed Azmin dalam menjelang hari pengundian PRN pada Sabtu ini.
Lebih 2,000 penyokong termasuk daripada PH-BN merangkumi pelbagai kaum memenuhi Padang Taman Permata bagi memberi sokongan bukan sahaja kepada Anwar tetapi calon Kerajaan Perpaduan.
Kemunculan Perdana Menteri ke sini dilihat sangat diperlukan ekoran visi PH untuk menewaskan Mohamed Azmin yang pernah menjadi Timbalan Presiden PKR sebelum beralih kepada parti lain selepas Langkah Sheraton.
Program berlangsung lewat malam tadi adalah acara ketiga dihadiri Anwar selepas dua program berlangsung di Taman Medan dan Ampang.
Secara kebetulan, Mohamed Azmin juga menganjurkan ceramah umum di Jalan AU2 Taman Sri Keramat yang terletak kira-kira 5.3 kilometer (KM) dari lokasi dihadiri Anwar.
Untuk maklumat, Mohamed Azmin diletakkan PN untuk merampas Hulu Kelang yang sebelum ini dimenangi wakil rakyat PH.
Namun usaha itu tidak dilepaskan PH begitu sahaja apabila mempertaruhkan Juwairiya yang berpindah kawasan dari Bukit Melawati demi misi menumbangkan Mohamed Azmin buat kali kedua. – UTUSAN
Pada PRU15, Azmin tewas kepada Amiruddin di Parlimen Gombak. – UTUSAN