MADRID: Luis Rubiales digantung sementara oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berikutan tingkah laku presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) itu dalam perlawanan akhir Piala Dunia Wanita minggu lalu.
Rubiales yang enggan meletakkan jawatan di sebalik kekecohan besar ditimbulkannya berikutan tindakannya mencium bibir Jenni Hermoso ketika dia mengalungkan pingat buat kapten pasukan itu selepas Sepanyol menang 1-0 ke atas England di Sydney.
Terdahulu, Hermoso menegaskan dia tidak bersetuju dengan ciuman itu sementara RFEF mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas komen yang dibuat oleh penyerang berkenaan.
Rakaman video juga menunjukkan dia memegang kelangkang Hermoso ketika meraikan kejayaan bersejarah itu, malah mereka berada berdekatan Ratu Letizia dan anak perempuannya yang berumur 16 tahun.
Bagaimanapun, keadaan mula berubah apabila FIFA membuka prosiding tatatertib ke atas Rubiales Khamis lalu dan dalam satu kenyataan lanjutan semalam, pegawai berusia 46 tahun itu dilarang daripada menyertai semua aktiviti berkaitan bola sepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk tempoh 90 hari.
Dalam masa sama, Hermoso dan rakan sepasukan tidak akan mewakili skuad kebangsaan sehingga Rubiales disingkirkan daripada jawatan Presiden RFEF.
Seramai 56 pemain termasuk Hermoso dan rakan sepasukannya yang memenangi Piala Dunia menandatangani kenyataan bersama menuntut Rubiales dipecat.
Mereka mengancam tidak akan bermain untuk Sepanyol lagi melainkan Rubiales disingkirkan daripada kedudukannya.– AGENSI