Perkeso Terengganu bayar RM8.5 juta kepada penerima faedah

Perkeso Terengganu bayar RM8.5 juta kepada penerima faedah

FARIHAH Che Husin (kanan) menyampaikan baucar faedah pengurusan mayat kepada ibu bapa Wan Nor Aziera Anisya Wan Mazlan yang maut dalam kemalangan, di Kampung Durian Kasim, Ajil, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU:  Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu sudah melunaskan bayaran faedah sebanyak RM8.5 juta kepada penerima di negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. 

Pengarahnya, Farihah Che Husin berkata, jumlah bayaran faedah itu melibatkan pembayaran bagi 3,019 kes di negeri ini.

“Pembayaran itu melibatkan pelbagai kategori seperti faedah hilang upaya sementara dan kekal,  faedah perubatan serta orang tanggungan, faedah pengurusan mayat,  pencen ilat dan  pencen penakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan baucar bayaran faedah pengurusan mayat kepada waris mangsa kemalangan, Wan Nor Aziera Anisya Wan Mazlan di Kampung Durian Kasim, Ajil, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12 Julai lalu, motosikal ditunggang Wan Nor Aziera Anisya, 20, terlibat dalam kemalangan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 35 Jalan Kuala Terengganu – Bukit Besi, berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Randok, Ajil, Hulu Terengganu. 

Farihah berkata, waris mangsa kemalangan tersebut layak menerima faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 dan ibu bapanya iaitu Wan Mazlan Wan Mohamad, 52, serta Rohani Tengah, 38, juga  turut menerima faedah orang tanggungan berbentuk pencen bulanan untuk seumur hidup. 

Katanya lagi, lima adik-beradik kandung yang berusia 6 bulan hingga 18 tahun akan turut menerima pencen bulanan sehingga mereka berusia 21 tahun atau setelah bukan lagi di bawah tanggungan.

Sementara itu, Farihah memberitahu, pada sepanjang Ops Pemutihan bermula 1 Mei hingga 30 Jun lalu, sebanyak 427 majikan di negeri ini dikesan belum mendaftarkan pekerja mereka dengan Perkeso.

“Kita harapkan agar semua majikan mendaftar dan membayar caruman pekerja yang ditetapkan,” ujarnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya