LONDON: Jordan Henderson bakal menyertai Steven Gerrard di Arab Saudi selepas Al-Ettifaq dan Liverpool bersetuju dengan perjanjian 12 juta pound (RM71 juta) serta nilai tambahan yang lain.
Pemain berusia 33 tahun itu mencapai persetujuan lisan dengan kelab tersebut yang kini diuruskan oleh bekas rakan sepasukan di Anfield, Gerrard dengan gaji yang dilaporkan 700,000 pound (RM4.13 juta) seminggu.
Kapten Reds itu ketika ini berada di Jerman bersama pasukan untuk jelajah pramusim tetapi diketepikan daripada skuad Jurgen Klopp ketika menentang Karlsruhe dalam aksi persahabatan pertama semalam.
Ketika ditanya mengenai ketiadaan Henderson, Klopp berkata: “Sebenarnya tiada apa yang boleh dikatakan.
“Selagi perkara tidak muktamadkan, kita tidak perlu bercakap mengenainya. Akan ada masa di mana kita kena bercakap tentang perkara itu tetapi bukan sekarang.
“Akhirnya, semua keputusan dibuat oleh Saya. Dan kerana saya amat menghormati pemain, ia biasanya dengan persetujuan. Ia berlaku dalam kes ini dan semuanya baik-baik saja.”
Henderson telah membuat 491 penampilan sejak menyertai Liverpool dari Sunderland dengan harga 20 juta (RM118 juta) pada 2011.
Dia mengetuai Reds merangkul kejuaraan Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab, selain Piala FA serta dua Piala Liga. – AGENSI