Keputusan batal HSR tidak boleh dibicara - AGC

Keputusan batal HSR tidak boleh dibicara – AGC

Cadangan laluan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Keputusan Kerajaan Malaysia membatalkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) adalah keputusan dasar awam yang tidak boleh dibicarakan di mana-mana mahkamah, demikian tegas Jabatan Peguam Negara (AGC).

Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh berkata, keputusan itu berdasarkan kajian dan rundingan antara kerajaan dan Kerajaan Singapura  berkaitan kepentingan ekonomi negara dan implikasi kos.

Beliau berkata, kerajaan dan empat yang lain melaksanakan kuasanya dengan suci hati dan untuk kepentingan negara dengan mengambil kira semua keadaan ketika membuat keputusan untuk menangguhkan dan membatalkan pelaksanaan Projek HSR. 

Keempat-empatnya ialah Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; dan kerajaan. 

DIMAKLUM

Katanya keputusan itu dimaklumkan kepada umum melalui Kenyataan Media Bersama oleh Muhyiddin dan Perdana Menteri Singapura pada 1 Januari 2021.

Sehubungan itu, Terrirudin berkata, beliau percaya tindakan seorang individu, Mohd. Hatta Sanuri, 47, yang memfailkan saman terhadap kelima-lima pihak berhubung pembatalan projek terbabit, adalah sangat jelas tidak boleh dipertahankan.

Ini kerana beliau tidak mempunyai locus standi (kedudukan di sisi undang-undang) untuk berbuat demikian.

“Dengan itu, saya sesungguhnya percaya dan menyatakan bahawa tindakan ini adalah mengaibkan, remeh dan menyusahkan dan adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah. 

“Saya menyatakan bahawa berdasarkan alasan di atas, pernyataan tuntutan plaintif (Mohd. Hatta) adalah tidak bermerit dan wajar dibatalkan. 

“lsu undang-undang yang berbangkit akan dihujahkan selanjutnya oleh Peguam Kanan Persekutuan ketika pendengaran permohonan ini kelak,” katanya.

Terrirudin berkata demikian dalam afidavit sokongan bagi membatalkan saman itu yang difailkan pada 30 Disember 2022.

Dalam saman itu, Mohd. Hatta mendakwa Dr. Mahathir dan Muhyiddin menyalahgunakan jawatan awam dan cuai berhubung penamatan projek HSR.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd. Hatta mendakwa Dr. Mahathir melakukan kecuaian dan menyalah guna jawatan awam apabila mengambil keputusan menangguhkan projek HSR, menyebabkan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia perlu membayar pampasan kepada Kerajaan Singapura hampir RM46 juta.

Plaintif juga mendakwa Muhyiddin, yang ketika itu Perdana Menteri kelapan turut cuai dan menyalah guna jawatan awam apabila menamatkan projek berkenaan sehingga kerajaan dan semua rakyat Malaysia termasuk plaintif selaku pembayar cukai perlu mengeluarkan wang RM320,270,519.24 sebagai pampasan pembatalan Perjanjian Dua Hala antara Malaysia dan Singapura yang dipersetujui. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN