AUCKLAND: Badan bola sepak dunia, FIFA mengesahkan aksi pembukaan Piala Dunia Wanita di Auckland akan ‘berjalan seperti dirancang’ selepas insiden tembakan di pusat perniagaan di bandar itu yang menyebabkan tiga orang maut, awal pagi tadi.
New Zealand, tuan rumah bersama Piala Dunia 2023 akan membuka kempen dengan menentang Norway di Eden Park pukul 3 petang ini (waktu Malaysia).
Polis New Zealand berkata, mereka percaya apa yang berlaku sebagai ‘insiden terpencil’ dan ‘bukan risiko keselamatan negara’.
Menurut FIFA, keputusan meneruskan perlawanan dibuat selepas berunding dengan pihak berkuasa New Zealand dan pasukan yang mengambil bahagian, yang diberi jaminan keselamatan.
Police are responding to reports of a serious incident on Quay St, Auckland CBD, this morning.
A number of armed Police are currently responding and the public is asked to please stay indoors and avoid the area.
Further information will be provided when available.
— New Zealand Police (@nzpolice) July 19, 2023
“FIFA mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa yang kehilangan nyawa berikutan insiden yang berlaku pagi ini di Auckland/Tamaki Makaurau, Aotearoa New Zealand.
“Ingatan dan doa kami tetap bersama mereka yang telah telah cedera dalam kejadian tragis ini.
“Sejurus selepas insiden itu, Presiden Gianni Infantino dan Setiausaha Agung FIFA, Fatma Samoura telah berkomunikasi dengan pihak berkuasa New Zealand. FIFA juga sentiasa berhubung dengan pasukan yang mengambil bahagian yang terjejas oleh insiden ini.
“FIFA dimaklumkan ini insiden terpencil yang tidak berkaitan dengan operasi bola sepak dan perlawanan pembukaan di Eden Park akan diteruskan seperti dirancang,” kata FIFA dalam satu kenyataan.

Polis mengesahkan suspek yang melepaskan tembakan turut maut dalam tragedi itu.
Lokasi kejadian adalah di sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di Lower Queen Street dan seorang pegawai polis turut cedera dalam serangan berkenaan.
“Suspek melepaskan tembakan ke arah polis ketika berada dalam bangunan terbabit,” kata polis dalam satu kenyataan.
Tembakan dilepaskan ketika banyak pasukan bola sepak sedang berkumpul di New Zealand bagi menghadiri Piala Dunia Wanita.
Perdana Menteri, Chris Hipkins, berkata pertandingan bola sepak itu akan diteruskan mengikut perancangan selain menambah bahawa tembakan hanya dilakukan seorang suspek dan polis tidak mencari sesiapa lagi yang disyaki.
“Kes ini didapati tidak bermotifkan politik atau ideologi tertentu dan tiada ancaman terhadap keselamatan negara, yang memerlukan New Zealand mengubah tahap ancaman keselamatan negara,” katanya dalam taklimat media di televisyen.

Kenyataan dari pasukan kebangsaan Norway berkata, tembakan berlaku berhampiran hotel yang didiami mereka dan skuad berkenaan ‘tidak terjejas’ serta melakukan persediaan seperti biasa.
Pasukan Itali pula lewat menghadiri latihan kerana tidak dapat meninggalkan hotel, manakala pasukan Amerika Syarikat (AS) mengesahkan semua pemain serta stafnya selamat. – AGENSI