Berjuang selamatkan kanak-kanak tenat

Berjuang selamatkan kanak-kanak tenat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK ‘keajaiban’ disaksikan Dr. Anis Siham Zainal Abidin, 46, sepanjang berjuang menyelamatkan ratusan nyawa pesakit di wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), selama ini.

Keajaiban tersebut menjentik hatinya untuk tidak mudah berputus asa atau lekas menyerah kalah.

Setenat mana sekali pun kes kanak-kanak yang dikendalikan, Perunding Pediatrik Intensivis di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway itu tetap bertekad meneruskan segala ikhtiarnya.

Di bahunya terpikul amanah yang cukup berat bagi memulihkan pesakit kepada keadaan sedia kala.

Malah, dalam masa sama, Dr. Anis Siham mahu mengembalikan kegembiraan dan senyuman di wajah ibu bapa serta keluarga kanak-kanak berkenaan.

Antara momen keajaiban yang tidak boleh dilupakan beliau ialah ketika mengendalikan kes pesakit berusia lima tahun yang lemas dalam kolam renang, beberapa tahun lalu.

“Selepas ditidurkan tiga hari, organ badan pesakit itu tiada fungsi selain pernafasan dan jantung. Dalam situasi itu boleh dianggap yang sudah tiada alasan untuknya hidup, tetapi saya tidak putus asa merawatnya sepanjang dua minggu dia di ICU sebelum dipindahkan ke wad serta rumah.

“Beberapa bulan kemudian, saya terkejut melihatnya berlari di hospital seperti kanak-kanak normal kerana dengan keadaan kesihatannya pada masa itu, saya menyangka dia mengalami kecacatan otak,” katanya kepada Seri ketika ditemui di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway baru-baru ini.


Dr. Anis Siham yang merupakan antara 22 pakar rawatan rapi pediatrik di Malaysia berkata, golongan kanak-kanak memiliki magis tersendiri apabila berupaya menghasilkan sel-sel baharu bagi melawan penyakit.

Katanya, anugerah istimewa itulah yang memberinya kekuatan untuk berusaha habis-habisan dalam menyelamatkan setiap pesakit.

Buktinya, rekod peratusan kematian kes PICU yang diuruskan ibu kepada dua anak itu amat rendah iaitu hanya dua peratus.

“Ilmu perubatan terhad kerana soal hidup mati seseorang akhirnya ditentukan Allah SWT, tetapi saya akan tetap berusaha memberikan peluang hidup yang lebih baik kepada pesakit tenat,” katanya.

Tengok video, gambar pesakit semasa sihat
Bergelumang dalam skop kerja berkaitan nyawa seseorang, Dr. Anis Siham mengakui berdepan cabaran besar.

Katanya, cabaran pertama ialah untuk menguruskan pesakit tenat manakala kedua pula bagi merawat keadaan kanak-kanak itu agar kembali kepada asal.

Apatah lagi, ujarnya, pesakit memerlukan rawatan berbeza-beza kerana tahap usia yang bermula dari seawal sebulan hingga 18 tahun.

“Apabila menerima kes, biasanya saya akan minta gambar atau video pesakit daripada ibu bapanya.

“Saya mahu tengok keadaannya sebelum tenat dan cara itu dapat menyuntik kekuatan untuk tidak mengalah dan terus berusaha sehabis baik dalam menyelamatkan pesakit di wad PICU,” kongsinya.


Malaysia kurang pakar rawatan rapi pediatrik
Ketika ini, hanya terdapat kira-kira 22 pakar rawatan rapi pediatrik yang berkhidmat di hospital awam dan swasta di seluruh negara.

Jumlah tersebut masih kecil jika dibandingkan dengan nisbah kanak-kanak yang besar di Malaysia iaitu 28.1 peratus atau bersamaan 9.19 juta orang.

Kekangan itu mengakibatkan sebahagian besar kanak-kanak tenat terutama di luar bandar terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) biasa bersama-sama pesakit dewasa kerana ketiadaan wad khas untuk mereka di kebanyakan hospital.

Dr. Anis Siham berkata, wujud keperluan untuk negara menambah bilangan pakar dalam bidang itu memandangkan kes pesakit yang semakin rumit saban tahun.

Katanya, penjagaan dan pengurusan rawatan rapi pediatrik penting dalam memastikan kanak-kanak tenat dapat diselamatkan dan peluang untuk mereka hidup juga lebih tinggi.

“Kanak-kanak yang dimasukkan ke wad ICU dikategorikan sebagai tenat dengan keadaan kesihatan di tahap 50-50.

“Namun, dengan penjagaan dan pemantauan oleh pakar, peluang untuk pesakit hidup adalah lebih baik di samping dapat mengelak sebarang komplikasi pada kesihatan mereka,” katanya.

Justeru Dr. Anis Siham berharap sekurang-kurangnya seorang pakar rawatan rapi pediatrik dapat ditempatkan di setiap negeri selaras untuk memperkasakan lagi perkhidmatan kesihatan negara.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway misalnya memiliki keseluruhan 22 katil di wad PICU di samping turut mengendalikan kes-kes pesakit kanak-kanak tenat.

Ujarnya, sebagai perancangan masa depan, hospital swasta itu berhasrat mengendalikan kes seperti pembedahan jantung dan hati untuk pediatrik.

Sasar latih 120 jururawat setahun
Jururawat merupakan antara komponen penting dalam penjagaan dan pengurusan rawatan rapi pediatrik.

Bagi memperkasakan peranan golongan itu, Dr. Anis Siham merintis inisiatif menganjurkan kursus asas rawatan rapi pediatrik yang pertama di Malaysia pada Februari lalu dengan menampilkan lapan pakar dari Australia.

Katanya, kursus yang disertai seramai 48 jururawat di seluruh negara itu bertujuan meningkatkan penilaian, diagnosis dan pengurusan pesakit kritikal di samping memantapkan kemahiran dalam pengendalian mesin seperti pernafasan, jantung dan dialisis.

“Menerusi inisiatif ini, kita merancang untuk melatih kira-kira 120 jururawat setiap tahun,” katanya.


Guna pam akuarium hasilkan alat pernafasan pelarian
Kesibukan tugas tidak menghalang Dr. Anis Siham terlibat dalam pelbagai misi kemanusiaan termasuk membantu pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh-Myanmar pada 2017.

Beliau yang merupakan ahli jawatankuasa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MedicAid turut menghasilkan alat bantuan pernafasan ringkas untuk pelarian Rohingya itu dengan menggunakan mesin pam akuarium.

Katanya, inovasi itu dihasilkan bersama rakannya, Dr. Yap Khean Chyuan bagi memeriksa kesihatan pelarian kanak-kanak.

“Keadaan kanak-kanak sangat teruk ketika mereka tiba di tebing sungai berikutan sudah lima hari tidak makan.

“Saya bersyukur dapat menghulurkan bantuan perubatan kepada mereka yang memerlukan dan berharap dapat menyertai lebih banyak misi kemanusiaan di masa depan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya