Amanah kecewa BN tanding DUN Tepuh - Utusan Malaysia

Amanah kecewa BN tanding DUN Tepuh

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Parti Amanah Negara (Amanah) kecewa apabila Barisan Nasional (BN) meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kerusi DUN tersebut merupakan milik Amanah selepas dipersetujui Barisan Nasional (BN)  dan diputuskan dalam Mesyuarat Sekretariat Perpaduan Terengganu pada Mei lalu.

Menurutnya, Amanah masih berpegang teguh kepada keputusan tersebut yang memberikan tiga kerusi DUN pada PRN kali ini.

Menurutnya, selain Tepuh, Amanah diberi kerusi Batu Buruk di Parlimen Kuala Terengganu dan Ru Rendang di Parlimen Marang.

“Bila tiba-tiba kita dengar ada calon BN bertanding di situ dalam majlis pengumuman di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada malam Jumaat lalu, memang rasa terkejut lah.

“Bukan sahaja pemimpin dan penyokong Amanah terkejut, ahli UMNO pun terkejut dengan pengumuman itu kerana bercanggah dengan keputusan yang telah dimuktamadkan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Ditanya apakah langkah yang akan diambil selepas ini, Raja Bahrin berkata, Amanah Terengganu menyerahkan perkara tersebut untuk dibincangkan pihak pimpinan tertinggi parti.

“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan Amanah dan BN berhubung perkara ini. Sebarang keputusan akan kita terima,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan yang tular kononnya BN meletakkan calon di Tepuh sebagai pertukaran kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang akan diberi kepada calon Pakatan Harapan (PH) pula, Raja Bahrin berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan mana-mana pihak sebelum ini.

“Kita tidak pernah memulangkan kembali kerusi DUN Tepuh kepada BN untuk memberi laluan kepada calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Ogos depan.

“Apa-apa pun, sebarang perubahan boleh berlaku sebelum hari penamaan calon pada 29 Julai depan. Kita tunggu sahaja keputusan pucuk pimpinan,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, kerusi DUN Tepuh dimenangi calon Pas, Hismuddin Abdul Karim dengan memperoleh 10,728 undi menewaskan pesaingnya dari BN, Basir Ismail yang mendapat 8,065 undi, sementara calon PKR, Wan Hafizie Suzlie Wan Hassan hilang deposit dengan mengumpul 1,002 undi. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya