Majikan ingkar gaji minimum RM2,000 boleh dikenakan tindakan

Majikan ingkar gaji minimum RM2,000 boleh dikenakan tindakan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majikan yang enggan mematuhi pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM2,000 sebulan boleh dikenakan tindakan undang-undang bagi memastikan hak pekerja terus terpelihara.

Profesor Madya Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, majikan yang gagal membayar gaji pokok mengikut kadar minimum ditetapkan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja jika disabitkan kesalahan.

Menurutnya, peruntukan itu termaktub di bawah Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) yang menetapkan kegagalan mematuhi Perintah Gaji Minimum (PGM) sebagai suatu kesalahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Majikan perlu memandang serius terhadap pelaksanaan kadar gaji minimum ini.

“Jika tidak, tindakan keras mengikut peruntukan undang-undang sedia ada boleh dikenakan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Muzaffar, kerajaan perlu menjalankan pemantauan ketat terhadap pelaksanaan kadar baharu itu bagi memastikan tiada majikan yang ingkar atau pekerja dinafikan hak mereka.

Katanya, sebelum ini terdapat aduan membabitkan majikan yang masih belum melaksanakan PGM, selain tindakan sesetengah majikan memotong elaun dan mengurangkan faedah sedia ada bagi mengurangkan kos kenaikan gaji minimum.

“Semua isu berbangkit ini perlu dipandang serius dan disiasat dengan segera bagi mengelakkan timbulnya masalah lain serta mencetuskan kekeliruan dalam kalangan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, mengikut Akta 732, gaji minimum merujuk kepada gaji pokok dan tidak termasuk elaun, insentif atau bayaran tambahan yang diberikan kepada pekerja.

Katanya, Seksyen 44 akta sama turut memperuntukkan kuasa kepada mahkamah untuk mengarahkan majikan yang disabitkan kesalahan membayar perbezaan antara kadar gaji minimum dengan gaji pokok yang diterima pekerja, termasuk bayaran lain yang berkaitan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pekerja yang merasakan hak mereka dinafikan supaya segera membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja atau Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Belanjawan 2027 memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027 melibatkan lebih empat juta pekerja di seluruh negara.

Anwar berkata, kenaikan itu merupakan antara langkah kerajaan merapatkan jurang produktiviti dan upah pekerja, selain menangani tekanan kos sara hidup yang berpunca daripada pendapatan rakyat tidak meningkat sejajar dengan kenaikan harga barangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini