PETALING JAYA: Bagi menyuburkan minat dan perasaan cintakan al-Quran dalam kalangan generasi muda, penyanyi baharu, Zakiy Hanafi dan Mateen muncul dengan single baharu berjudul Nur al-Quran.
Penerbitan single baharu itu tepat pada masanya ketika negara baru menganjurkan acara berprestij iaitu Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Kebangsaan 2023 (MTHQK) di Pulau Pinang, sebelum diteruskan ke peringkat antarabangsa.
Lagu ciptaan komposer dan penyanyi nasyid berpengalaman, Munif Ahmad serta lirik yang dihasilkan oleh Firdaus Sahiddin itu diterbitkan oleh Inteam Records.
Single yang dinyanyikan secara duo itu dilancarkan sejak 1 Jun lalu, dan tersedia dalam semua platform digital termasuk dalam Youtube Inteam Digital.
Untuk rekod, Mateen pernah merakamkan beberapa single di bawah Inteam Records bersama kumpulannya Zayne serta single solo berjudul Teratas yang dilancarkan awal tahun lalu.