'Nak penuhkan satu kelas sains pun susah'

‘Nak penuhkan satu kelas sains pun susah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kapasiti sebuah kelas aliran sains adalah seramai 35 orang, namun sejak kebelakangan ini untuk memperoleh 20 pelajar saban tahun pun semakin rumit.

Itu senario terkini kelas aliran sains di sekolah luar bandar yang dikatakan semakin dijauhi pelajar sehinggakan berlaku penurunan saban tahun daripada segi jumlah pelajarnya.

Mendedahkan perkara tersebut kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, senario itu berlaku disebabkan minat pelajar luar bandar terhadap mata pelajaran sains dan matematik semakin berkurang pada masa kini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, beliau berkata, isu tersebut juga timbul disebabkan tahap penguasaan yang lemah dalam subjek Bahasa Inggeris.

“Berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang guru, sekolah di pinggir dan luar bandar boleh nampak penurunan tersebut, namun tidak di kawasan bandar yang mana pelajar ini mampu menguasai bahasa Inggeris, matematik dan sains dengan baik.

“Jika mata pelajaran matematik moden pun mereka susah untuk menguasainya apatah lagi matematik tambahan. Jadi ramai pelajar mengelak daripada mengambil aliran sains apabila melangkah masuk ke tingkatan empat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Guru Kebangsaan bulan lalu yang mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menubuhkan pasukan khas bagi menyuntik kembali minat dalam bidang sains dan teknologi di kalangan pelajar di negara ini.

Beliau berkata, langkah segera itu susulan kajian membuktikan bahawa minat terhadap bidang terbabit semakin merosot khasnya membabitkan pelajar luar bandar.

“Kajian awal kita, minat anak-anak terutama di desa, pedalaman dan miskin bandar dalam bidang sains dan teknologi, merosot.

“Apa kelemahan dan kekurangan sekarang? Dalam laporan terakhir (yang saya terima), minat anak-anak dalam bidang sains dan teknologi, kurang. Saya sudah meminta Menteri Pendidikan untuk wujudkan pasukan khas untuk mencari jalan menyuntik semula semangat anak-anak (menceburi bidang ini).

“Dalam pelaburan yang besar, (sebagai contoh) dalam pelaburan automotif yang besar, green technology (teknologi hijau) dan kenderaan elektrik, (sudah pasti peranan) anak-anak (muda) dalam bidang itu amat diperlukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fouzi berkata, KPM harus mengenalpasti punca kurangnya minat pelajar terhadap aliran Sains sejak kebelakangan ini supaya ia dapat diatasi dengan berkesan.

“Kerjasama dengan semua pihak harus dilaksanakan supaya dapat mengenalpasti punca sebenar mengapa pelajar di luar bandar semakin kurang berminat mengikuti aliran sains,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini