BACHOK: Kerajaan Kelantan memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM1.98 juta untuk merancakkan lagi usaha pembenihan lembu hibrid di bawah jenama Naimbif.
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, ketika ini pihaknya dalam proses menyiapkan fasiliti di kawasan seluas 40.5 hektar yang akan bermula September nanti.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan sebahagian usaha bagi memenuhi keperluan pembekalan berikutan baka-baka terbaik dibawah Naimbif sudah tersebar ke seluruh negara.
“Apa yang kita kagumi adalah melalui usaha sedia ada rakyat negeri ini, nisbah pengeluaran lembu hibrid kita sudah mencapai 94.4 peratus dan ia merupakan satu jumlah yang besar.
“Bagi saya pencapaian ini menunjukkan Kelantan sangat berpotensi menjadi pengeluar utama lembu hibrid di Malaysia sekali gus memenuhi keperluan daging negara,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2023 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan kerajaan negeri turut menerima pengiktirafan ‘Malaysia Book of Records’ bagi Himpunan Terbesar Lembu Hibrid Dalam Satu Acara yang menyaksikan sebanyak 213 lembu hibrid dikumpulkan di Pantai Irama bermula 14 hingga 18 Jun.
Lembu-lembu berkenaan terdiri daripada 87 lembu baka Charolais, 85 lembu baka Limousin, 12 lembu baka Belgian Blue, 19 lembu baka Blonde dan 10 lembu pelbagai baka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu memberitahu, Kerajaan Negeri berharap pelbagai agensi dapat melihat potensi besar inisiatif dunia penternakan lembu hibrid dengan saling bekerjasama bagi menjamin pengeluaran makanan dan hasil pertanian dapat terus ditingkatkan di negeri ini.
Katanya, melalui jenama Naimbif kerajaan negeri memberi penarafan kepada penternak yang mencukupi syarat kelestarian, kandang dan penternakan lembu hibrid berkualiti melalui kerjasama teknikal Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan.
“Dengan adanya pengeluaran sebaik ini, Insya-Allah kita akan dapat membekalkan makanan kepada rakyat kita. Penternak yang mencukupi jumlah lima lembu hibrid ke atas akan mendapat penarafan sistem penternakan Naimbif.
“Jadi kita perlu bantu penternak mendapatkan penarafan ini. Ia merupakan satu jenama yang baik dan kalau kita dapat bantu penternak, kita boleh menjadi pengeluar lembu hibrid terbaik dalam negara ini,” ujarnya.-UTUSAN