MOSCOW: Russia sudah menempatkan bekalan pertama senjata nuklear taktikal di Belarus.
Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Russia, Vladimir Putin dalam Forum Ekonomi Antarabangsa yang diadakan di St. Petersburg, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Putin menegaskan senjata nuklear itu hanya akan digunakan sekiranya mana-mana wilayah Russia terancam.
Lapor BBC, menurut Putin, penghantaran bekalan senjata nuklear taktikal itu akan selesai menjelang akhir musim panas ini.
Jelas beliau, tindakan itu dilakukan sebagai `langkah pembendungan’ dan peringatan kepada `pihak berniat menyebabkan kekalahan strategik kepada Russia’.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan penggunaan senjata nuklear itu, Putin mempersoalkan mengapa perlu mengancam seluruh dunia.
“Saya sudah memaklumkan bahawa tindakan ekstrem itu mungkin diambil sekiranya wilayah Russia berdepan bahaya,” katanya.
Belarus merupakan sekutu penting Russia dan berfungsi sebagai `batu loncatan’ untuk pencerobohan Ukraine pada Februari tahun lalu.
Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Anthony Blinken memaklumkan tiada tanda-tanda menunjukkan Kremlin merancang menggunakan senjata nuklear untuk menyerang Ukraine.
“AS tidak melihat sebarang tanda-tanda bahawa Russia bersiap sedia untuk menggunakan senjata nuklear,” katanya.










