Tinggalkan bola sepak, terjun ke bidang seni - Mior Hashim - Utusan Malaysia

Tinggalkan bola sepak, terjun ke bidang seni – Mior Hashim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR lima dekad berkecimpung dalam dunia seni tanah air, pelakon, pengarah, penyunting dan aktivis teater disegani, Mior Hashim Manap tidak pernah meletakkan noktah terhadap perjalanan seninya.

Jalan kerjayanya penuh warna. Ada naik dan turun. Tetapi sampai hari ini insan seni disegani ini masih menabur bakti.

Zaman kanak-kanak, anak kelahiran Perak ini tiada yang luar biasa. Lahir dalam keluarga bukan berdarah seni, Mior akui dia kanak-kanak pemalu yang tidak pernah terfikir akan bekerja di depan dan belakang kamera.

“Tetapi dalam malu-malu itu, tersimpan minat pengarahan yang cukup menebal dalam diri saya.

“Justeru, saya tidak lepaskan peluang apabila diminta untuk mengarahkan sebuah persembahan pentas sempena majlis akhir tahun sekolah melibatkan ibu bapa,” kongsinya teruja.

Kata Mior, dia membesar dibawa jagaan ibu saudaranya yang tidak memiliki anak. Meskipun begitu, hubungan dengan adik beradik dan ibu kandungnya terpelihara dengan baik.

“Saya ada sembilan adik beradik, tetapi tidak tinggal bersama mereka. Disebabkan ibu saudara saya tidak mempunyai anak, ibu dan ayah kandung saya benarkan saya tinggal bersamanya.

“Tetapi meskipun keadaannya begitu, hubungan saya dengan keluarga sebenar tidak pernah putus,” kongsinya lagi.

Mior memberitahu beliau cukup mengidolakan Allahyarham Aziz Jaafar yang padanya tokoh perfileman cukup dihormati.

Kata Mior, filem-filem lakonan seniman tersebut merupakan antara yang banyak memberikan inspirasi kepadanya untuk masuk ke dunia drama dan perfileman.

“Saya, ketika remaja, memang gemar menonton filem. Saya tak pernah terlepas menonton satu pun filem dilakonkan Aziz Jaafar.

“Selain itu, saya juga selalu mengikuti filem-filem Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Nordin Ahmad. Saya banyak belajar dari filemfilem mereka,” tambahnya.

Tiada siapa mampu meramal takdir sendiri. Begitu juga Mior yang tidak pernah terfikir banyak usianya dihabiskan di pentas teater, filem dan drama.

Tidak ramai yang tahu bahawa pengarah tersohor ini dahulu aktif bermain bola sepak ketika bertugas di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekitar tahun 1975.

“Namun saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada sukan bola sepak gara-gara kecederaan yang saya alami ketika mengikuti satu perlawanan pada tahun sama.

“Tertutup satu pintu, pintu lain pula terbuka. Dalam saya tidak lagi aktif (bermain bola sepak), saya diajak pula menyertai kursus asas lakonan dan tarian anjuran Kementerian Kesenian dan Kebudayaan.

“Menerusi bengkel tersebut, saya berkenalan dengan ramai aktivis seni, termasuk orang teater,” kongsinya.

Kongsi Mior, pada 1978, beliau sertai pula bengkel khas anjuran Kelab Teater Kuala Lumpur yang dipimpin Allahyarham Mustaffa Noor dan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

“Turut sertai bengkel tersebut adalah Nasir Jani, Allahyarham Hisham Ahmad Tajuddin, Fatimah Abu Bakar dan ramai lagi.

“Saya dapat muncul di kaca televisyen kerana Shuhaimi, yang waktu itu penerbit drama televisyen di Radio Televisyen Malaysia (RTM) menggunakan khidmat kami untuk program Drama Minggu Ini,” katanya.

WIRA BUKIT

Mior mula berlakon teater pada 1977 menerusi naskhah Sang Kancil. Beliau berkenalan dengan Sasterawan Negara, A. Samad Said yang pada 1982 memberi kepercayaan kepadanya untuk mengarahkan teater Wira Bukit.

Ketika itu, Mior sudah tidak lagi berkhidmat di UKM kerana mahu memberi tumpuan kepada bidang teater, filem dan drama.

“Dalam keseronokan mengarah teater, saya lupa, saya berdepan naskhah Wira Bukit, sebuah karya yang cukup besar daripada seorang tokoh disegani.

“Bila skrip siap dan diserahkan kepada saya, saya kritik dan komen. Saya lupa yang saya komen itu naskhah terlalu besar.

“A. Samad Said besar jiwa, rendah egonya. Tidak sedikitpun dia membalas kritikan saya malah mengalu-alukan pandangan orang muda,” ceritanya lagi.

Era 80-an menyaksikan penglibatan penuh Mior dalam bidang seni, khususnya teater filem dan drama. Beliau pernah menyertai sebuah syarikat filem dan pengiklanan, memikul jawatan penolong penyunting filem untuk lebih satu tahun.

“Masa itu saya kurang terima tawaran berlakon. Lebih banyak melakukan kerja-kerja suntingan.

“Tapi ada satu tawaran lakonan saya tak lepaskan, filem Ceritamu Ceritaku arahan seniwati Saadiah. Heroin filem itu adalah seniwati Fauziah Ahmad Daud,” katanya.

TEGUR WARTAWAN SEBAB SALAH FAKTA

Pengarah berusia 68 tahun ini mengiyakan apabila penulis menyifatkan beliau seorang yang lantang dalam menyuarakan kritikannya tentang perihal dunia seni tempatan.

Jelas Mior, kritikan dan teguran yang dibuat tidak lain hanya sebagai pandangan peribadi untuk kebaikan bersama.

“Saya pernah tegur wartawan kerana mengklasifikasikan seorang penyanyi popular 80-an sebagai penyanyi Pop Yeh Yeh dalam artikel yang ditulisnya.

“Saya terpanggil untuk menghubungi dia dan menegur kesalahan tersebut kerana bimbang ia akan menimbulkan salah faham dalam kalangan pembaca,” terangnya.

MIMPI JADI KENYATAAN

Itu digambarkan Mior sewaktu menceritakan pengalaman bekerja dengan nama-nama besar dalam lapangan teater, drama dan filem tanah air.

Beliau mengakui bertuah kerana memperoleh peluang begitu pada usia cukup muda. Pengalaman yang dimiliki tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

“Saya masih muda, dapat pula bekerja dengan legenda-legenda tanah air seperti A. Rahim, Jins Shamsuddin, Azean Irdawaty, M. Osman, Keris Mas, Arena Wati. Datuk Seri A. Samad Said dan ramai lagi. Macam tak percaya saya dikelilingi orang hebat.

“Saya berpeluang dalami cara pemikiran mereka, kagum dengan keyakinan mereka menilai watak dan cerita.

“Bayangkan dapat duduk semeja berkongsi pandangan dengan orang hebat dalam sastera dan penulisan seperti Keris Mas dan Arena Wati. Saya pegang nasihat mereka, yang menyarankan orang muda keluar merantau mencari ilmu,” ceritanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya