Masa kunci kejayaan wanita

Masa kunci kejayaan wanita

BERGELAR ketua pengarah bukan bermakna beliau sekadar duduk di kerusi empuk pejabat dan hanya memberi arahan kepada kakitangan bawahan.

Sebaliknya, Datuk Seri Rosida Jaafar, 59, yang menerajui Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), perlu sentiasa bersedia turun padang apabila diperlukan atau membuat lawatan mengejut bersama-sama pegawai dan kakitangan untuk kerja-kerja penguatkuasaan.

Namun, dalam kesibukan mengejar misi pembangunan dan kelestarian tiga bandaraya iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tidak diketepikan.

“Walaupun meja saya sentiasa penuh dengan tugasan, namun saya tetap berusaha mencari ruang untuk meluangkan masa berkualiti bersama suami dan anak-anak.

“Sebagai wanita berkerjaya, saya harus bijak menguruskan masa. Masa adalah kunci kejayaan bagi setiap kaum hawa pada era sekarang.

“Setiap saat perlu digunakan sebaiknya, setiap minit yang terluang hendaklah diisi dengan efisien,” katanya kepada Seri baru-baru ini.


Menurut anak jati Temerloh, Pahang itu, sokongan keluarga terutama suami menjadikan tuntutan kerja dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu menjadi lebih mudah serta fleksibel.

Selain itu, katanya, komunikasi baik dengan keluarga turut membantu melancarkan setiap urusannya.

“Saya bersyukur kerana suami turut sama meringankan kerja-kerja di rumah. Keperluan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan kami di sebalik kesibukan kerja,” katanya.

MENU SIHAT UNTUK KELUARGA
Berpegang kepada istilah air tangan ibu lebih baik, sesibuk mana pun tugasannya, Rosida tetap akan memasak untuk keluarga.

Ibu kepada tiga anak yang gemar membela kucing jalanan itu berkata, memasak adalah satu aspek yang sangat penting dalam institusi kekeluargaan.

Walaupun hidangan disediakan hanyalah menu ringkas tetapi baginya, aktiviti itu sedikit sebanyak membantu dalam mengukuhkan ikatan kasih sayang.

“Apa yang penting, saya dapat menyediakan makanan sihat dan seimbang untuk seisi keluarga. Air tangan ibu adalah yang terbaik untuk anak-anak dan suami walaupun rasanya tidak sesedap mana kerana dimasak dengan penuh kasih sayang.

“Sebagai isteri, ibu, anak dan pekerja, wanita perlu bijak dalam menguruskan tanggungjawab terhadap keluarga di samping mencapai kecemerlangan dalam kerjaya.

“Jika semua itu dapat dilakukan, maka kesempurnaan dan keseimbangan antara kerjaya dan keluarga mudah dikecapi,” katanya.


ANGGAP WARGA KERJA, KELUARGA
Sebagai pemimpin dalam organisasi kerajaan, pastinya tidak terlepas dengan pelbagai dugaan termasuk karenah birokrasi dan tingkah laku pekerja.

Bagi mengatasi semua isu itu, Rosida mengamalkan sikap terbuka dengan kakitangan dan berbincang bersama warga kerja JWP yang dianggap sebagai keluarga.

Katanya, jika ada perkara yang tidak memuaskan hati, teguran akan dibuat umpama ibu yang menegur anak.

“Melalui kaedah ini, motivasi dan semangat warga kerja dapat ditingkatkan, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan harmoni.

“Demi rakyat di Wilayah Persekutaan, kami perlu melaksanakan setiap skop kerja dengan pantas.

“Malah saya selalu menekankan kepentingan kerja berpasukan iaitu tiada halangan antara pengurusan atasan dengan pegawai bawahan untuk saling memberi sokongan,” katanya.

Rosida berkata, langkah itu penting dalam melonjakkan penyampaian perkhidmatan agar penghasilannya benar-benar memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Justeru, katanya, kerjasama kedua-dua belah pihak sama ada pengurusan mahupun kakitangan sokongan haruslah digembleng secara bersama bagi memastikan setiap urusan berjalan lancar.

Beliau yang sebelum ini merupakan Ketua Setiausaha berkata, segala peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya masih sama, walaupun jawatan kini berubah kepada Ketua Pengarah.


SASAR WP LEBIH MAJU, MAMPAN
Kementerian Wilayah Persekutuan sudah distruktur semula dan dikenali sebagai JWP sejak Disember 2022.

Pada masa ini, tadbir urus dan kawal selia Wilayah Persekutuan masih diletakkan di bawah fungsi JWP.

Rosida berkata, pentadbiran jabatan itu adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“JWP akan terus komited dalam meneraju Wilayah Persekutuan ke arah pembangunan fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar yang mampan. Ini dilakukan melalui kerjasama strategik yang inklusif dalam menjamin kemajuan dan kesejahteraan warganya.

“Visi dan misi utama JWP adalah untuk menjadikan Wilayah Persekutuan lebih maju, sejahtera, mampan dan berdaya saing seiring dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.

JWP melalui Pelan Strategik JWP 2021-2025 mengariskan sebanyak 78 program dan aktiviti yang merangkumi lapan teras iaitu wilayah bersih; keselamatan awam; sistem pengangkutan efisien; sosioekonomi mampan, persekitaran hijau; komuniti inklusif, perancangan dan pengurusan guna tanah mampan di samping tadbir urus dan keupayaan organisasi.

Menurut Rosida, pelan strategik itu disediakan supaya Wilayah Persekutuan kekal relevan dalam jangka panjang sehingga menampakkan hasil yang terbaik kepada seluruh warganya.

Antara usaha lain yang turut dijalankan ialah mewujudkan dan melaksanakan dasar perumahan mampu milik, tabung penyelenggaraan Wilayah Persekutuan, inisiatif wilayah bebas berniaga dan memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial dalam kalangan penduduk. – UTUSAN

Datuk Seri Rosida Jaafar
• Umur: 59
• Tarikh lahir: 18 November 1964
• Tempat lahir: Temerloh, Pahang
• Nama suami: Ghazali Zainuddin
• Jumlah anak: 3 orang (1 perempuan, 2 lelaki)
• Pendidikan:
-A-Level di Cardiff Tutorial College
-Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Tanah di University of Reading, England
• Hobi: Melukis, bercucuk tanam, berbasikal, membela kucing jalanan.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN