PETALING JAYA: Lambakan guru dalam satu-satu mata pelajaran perlu dikenal pasti dan dielakkan kerana ia antara punca utama subjek yang kekurangan tenaga pengajar tidak dapat dibawa masuk menyebabkan jurang nisbah antara guru dan murid menjadi besar.
Kekurangan guru dikenal pasti melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi, namun rekod lambakan tenaga pengajar dalam satu-satu subjek tidak didedahkan Kementerian Pendidikan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, berdasarkan penelitian terperinci terhadap punca nisbah guru dan murid tidak seimbang, terdapat kemungkinan subjek tertentu mempunyai guru berlebihan dalam satu-satu mata pelajaran.
Malah, menurut beliau, penempatan guru ke sekolah mungkin tidak memenuhi spesifikasi atau keperluan yang sewajarnya, sekali gus menyebabkan nisbah guru tidak mencapai hasrat diharapkan.
“Kementerian Pendidikan perlu membuat unjuran jumlah guru mengikut keperluan subjek dan bilangan murid bagi mengelakkan isu lambakan guru yang berlebihan dalam satu-satu subjek atau di mana-mana sekolah.
“Perkara ini perlu dilakukan bagi memastikan nisbah guru dan murid dapat diatasi dan mengelakkan isu kekurangan guru,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, kata beliau, sokongan kewangan sangat diperlukan bagi menambah lebih banyak kelas atau pembinaan sekolah baharu supaya isu kekurangan guru dapat diatasi dengan lebih efektif.
“Ia bergantung kepada kemampuan kewangan Kementerian Pendidikan terutama menambah pengambilan guru akibat kekurangan guru dalam subjek tertentu atau guru bersara awal.
“Jadi, menambah kelas atau membuka sekolah baharu adalah satu langkah mengatasi nisbah tersebut terutama di kawasan berkepadatan tinggi,” katanya.
Semalam, kekurangan guru sekolah di seluruh negara dilaporkan kritikal apabila jurang nisbah guru dan murid terlalu besar iaitu 1:45 atau 1:40 berbanding nisbah dicadangkan iaitu 1:20.
Kementerian Pendidikan direkodkan mempunyai lebih 430,000 guru di seluruh negara dan jumlah itu sebenarnya cukup jika semua guru ditugaskan mengajar lima juta murid dengan nisbah antara guru dan murid mengecil kepada 1:11 murid.
Malah, ramai guru didakwa ditugaskan dengan tugas-tugas lain terutamanya di bahagian pentadbiran, namun perkara itu disangkal oleh Mohd. Azizee.
“Soal guru terlibat dengan kerja pentadbiran itu kurang tepat kerana guru yang menjawat jawatan pentadbir diberi jumlah masa mengajar yang sedikit jika dibandingkan guru yang bukan pentadbiran.
Sebaliknya, katanya, jurang nisbah guru dan murid mampu dikurangkan dengan mengambil kira beberapa lagi faktor lain antaranya menggabungkan sekolah yang berdekatan dengan satu sama lain atau menutup sekolah sedia ada jika ia tidak berfungsi dengan baik.
“Guru sedia ada boleh diserap ke sekolah yang ramai murid. Untuk itu, aspek infrastruktur dan kemudahan sedia ada perlu dinaik taraf terutama menangani sekolah daif dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










