Athalia enggan disamakan dengan ibu - Utusan Malaysia

Athalia enggan disamakan dengan ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMRAH dan satu kebiasaan buat anak seorang penyanyi apabila disamakan atau dibanding-bandingkan dengan ibu atau bapa mereka.

Penyanyi cantik, Athalia, bagaimanapun tidak mahu disamakan dengan ibunya yang juga penyanyi, Sharifah Zarina.

Malah gadis berusia 19 tahun ini menganggap dia dan ibunya sebagai dua jenis penyanyi berbeza meskipun hakikatnya, anak beranak.

“Saya dan ibu berbeza. Malah citarasa muzik kami berbeza. Yang sama dengannya mungkin adik saya.

“Tapi, sebenarnya saya tak kisah dikaitkan dengan ibu meskipun awal-awal dahulu ada juga saya mempersoalkan kenapa keadaan itu berlaku kepada saya.

“Bila difikirkan semula, ada juga kebaikannya. Lagipun dari kecil memang sudah terbiasa melihat keadaan ibu yang dikenali ramai.

“Jadi sekarang, bila dikaitkan, ia bertukar perkara biasa buat saya,” katanya selepas majlis Pelancaran Secret Recipe x Universal Music, dekat sini semalam.

Athalia juga bersyukur kerana dia tidak dibiarkan berada dalam industri seni tanpa bimbingan sesiapa.

Katanya, ibunya, Sharifah Zarina banyak mengajar tentang baik buruk industri.

“Ibu sangat tegas. Saya bersyukur sebab dia orang industri yang arif selok belok bidang seni dan hiburan.

“Itu adalah perkara positif apabila beribukan seseorang yang datang dari industri. “Dialah yang banyak memberi bimbingan, tidak membiarkan saya terkapai-kapai dalam mengejar impian jadi penyanyi,” ujarnya.

BUKAN TAK FASIH BAHASA MELAYU
Gadis tinggi lampai ini tidak menolak persepsi umum yang mendakwa dia tidak fasih berbahasa Melayu hanya kerana kebanyakan lagu-lagunya dirakam dalam bahasa Inggeris.

Kata Athalia, ada sebab mengapa dia lebih cenderung menyanyikan lagu berbahasa Inggeris.

“Bukan saya tak fasih bahasa Melayu. Dari kecil saya dengar lagu Inggeris. Jadi emosi lebih sampai kalau nyanyi lagu bahasa tersebut.

“Saya dibesarkan di Sarawak, di rumah bahasa perantara kami adalah Melayu-Sarawak dan Inggeris.

“Mungkin saya kena segera keluarkan lagu Melayu untuk membuktikan saya boleh menyanyi lagu Melayu,” jelasnya.

Mengulas pula tentang persepsi orang yang mengatakan dia kebaratan, Athalia mengakui, itu kemahuannya.

“Tapi saya juga mahu menerobos ke dalam pasaran Melayu. Sebab itu sekarang saya berusaha ke arah itu “Harap saya dapat cipta nama dalam industri muzik Melayu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN