32 wanita mempunyai kes tuntutan nafkah anak dibantu - Utusan Malaysia

32 wanita mempunyai kes tuntutan nafkah anak dibantu

WAN Mohd. Zakri (kanan) mengiringi Shaikh Harun Shaikh Ismail menyerahkan bantuan pendahuluan nafkah kepada salah seorang penerima di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 32 wanita yang masih mempunyai kes tuntutan nafkah anak di Mahkamah Syariah di negeri ini mendapat pembelaan apabila menerima bantuan pendahuluan sehingga RM1,500 seorang.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. berkata, bantuan keseluruhan yang berjumlah RM52,470 itu merupakan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (Maidam).

Menurut beliau, agihan bantuan pendahuluan itu bertujuan meringankan beban penerima gara-gara sikap culas bekas suami yang gagal membayar nafkah seperti diarahkan mahkamah.

“Penerima terpilih ini tidak semestinya terdiri daripada golongan miskin tetapi berdasarkan keperluan mereka menjaga dan menampung perbelanjaan anak masing-masing.

“Bagi bantuan pendahuluan nafkah ini, ada diantara penerima perlu membayar balik cuma mereka masih dalam proses perlaksanaan perintah untuk mendapat semula (nafkah) dari bekas suami.

“Untuk rekod, sebanyak sembilan kes pemenjaraan telah dikenakan di Terengganu sejak 2012 sehingga 2019 atas kesalahan gagal bayar nafkah anak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu di sini, hari ini.

Bantuan tersebut diserahkan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Wan Mohd. Zakri menjelaskan, selain menjatuhkan hukuman penjara, bekas suami yang ingkar arahan mahkamah boleh dikenakan tindakan pemotongan gaji sekiranya masih bekerja.

Beliau berkata, masih ramai golongan itu yang bersikap tidak endah dengan mengabaikan nafkah anak-anak selain degil apabila tidak membayar jumlah yang ditetapkan mahkamah.

“Jika berlaku situasi itu, bekas isteri boleh membuat aduan dan kita akan berunding dengan kedua-dua pihak sebelum difailkan ke mahkamah sekiranya gagal mencapai persetujuan,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya