Edar ganja: Polis tahan 6 individu termasuk suami isteri, anak

Edar ganja: Polis tahan 6 individu termasuk suami isteri, anak

MOHAMED Usuf Jan Mohamed (kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah jenis ganja yang dirampas dalam serbuan di Bayan Lepas, Pulau Pinang.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Enam individu termasuk sepasang suami isteri bersama tiga anak mereka ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Mahkamah, Bayan Lepas, di sini semalam bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis ganja.

Dalam operasi terancang itu, polis turut merampas 139.5 kilogram (kg) ganja bernilai RM432,614 yang disimpan di rumah yang disewa oleh suspek di Bayan Lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, terdahulu, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Mahkamah, Bayan Lepas pada pukul 8 malam semalam sebelum menahan dua suspek lelaki berusia 25 dan 49 tahun di situ.

“Susulan penangkapan suspek, polis menahan seorang wanita berusia 48 tahun dan tiga anaknya yang berusia 15 hingga 29 tahun. Wanita ini adalah isteri kepada suspek utama iaitu lelaki berusia 49 tahun.

“Ketika tangkapan, wanita ini dan anak-anaknya baharu pulang daripada mengerjakan solat terawih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam rumah itu, polis merampas lima guni berisi 133 ketulan mampat ganja seberat 133.9 kg, satu pek beg plastik mengandungi lima ketulan ganja (5kg) dan 83 peket kecil ganja seberat 0.6 kg yang kesemuanya bernilai RM432,614.

SEBAHAGIAN daripada dadah yang dirampas dalam serbuan di Bayan Lepas dipamerkan ketika sidang akhbar di IPK Pulau Pinang

“Siasatan awal mendapati, kesemua dadah ini diseludup dari negara jiran dipercayai menggunakan jalan darat oleh rangkaian sindiket pengedaran dadah ini.

“Dadah ini kemudian dihantar kepada suspek utama (lelaki 49 tahun) di Bayan Lepas dan sindiket ini kemudiannya membungkus semula ganja tersebut dalam pelbagai saiz. Sindiket ini seterusnya akan mengedar dan menjual dadah ini di sekitar Pulau Pinang sehingga mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit setiap bulan,” katanya.

Tambahnya, siasatan juga mendapati sindiket itu bergiat aktif sejak Jun tahun lepas dan kesemua dadah yang dirampas tersebut  boleh digunakan oleh 280,000 penagih dadah.

“Kesemua mereka yang ditahan tidak bekerja manakala remaja lelaki yang berusia 15 tahun tersebut sudah tidak bersekolah dan ujian air kencing mendapati, seorang daripada mereka positif dadah selain mempunyai rekod lampau,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, polis menyita tiga buah kenderaan iaitu kereta Proton Iswara serta dua buah motosikal jenis Yamaha Y15 dan Honda Dash bernilai keseluruhan RM11,500. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM444,114.

“Lima suspek direman selama tujuh hari hingga 28 Mac manakala remaja lelaki direman sehingga 26 Mac dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN