Peruntukan pembangkang belum dibincang – Fadillah

Peruntukan pembangkang belum dibincang – Fadillah

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Belum ada perbincangan rasmi antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan jawatankuasa yang dibentuk pembangkang berhubung pengagihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fadillah berkata, hanya satu perbincangan awal dilakukan antara beliau dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan diadakan pada Jumaat lalu.

“Ketika ini tiada perbincangan penuh dilakukan kerana ia masih di peringkat awal, dan kita juga menunggu surat rasmi daripada pihak pembangkang berhubung perbincangan ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sudah berjumpa dengan beliau tetapi ia hanyalah perbincangan awal dan berhubung kait perbincangan penuh yang akan dilakukan bersama mereka (parti pembangkang) berkenaan peruntukan ini.

“Bagaimanapun perbincangan penuh itu belum dipastikan bila kerana kita sekarang ini memang baru lagi di peringkat awal dan tiada apa perundingan penuh boleh dilakukan,” dedahnya.

Fadillah berkata, bagi memudahkan semua pihak, satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk menyelia perundingan di antara kerajaan perpaduan dengan jawatankuasa yang dibentuk oleh pihak pembangkang.

Semalam media tempatan melaporkan Perikatan Nasional (PN) telah melantik tiga wakil rakyatnya untuk mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai jumlah peruntukan yang bakal diterima Ahli Parlimen pembangkang.

Tiga Ahli Parlimen berkenaan ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN