Empat sekolah di ibu negara pusat melatih bakat badminton

Empat sekolah di ibu negara pusat melatih bakat badminton

Jahaberdeen Mohamed Yunoos ketika melancarkan Kejohanan Badminton Tertutup Kuala Lumpur Projek Jejak Juara 2023 di SMK Seri Bintang Selatan di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat sekolah di ibu negara yang terpilih sebagai Pusat Latihan Daerah (PLD) oleh Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) mampu melatih lebih 3,000 bakat muda.

Empat sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Selatan (Zon Pudu), SMK Wangsa Melawati (Zon Keramat), SMK Seri Pantai (Zon Bangsar) dan SMK Kepong Baru (Zon Sentul).

Presiden KLBA, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, empat PLD itu akan menjadi tempat 3,000 hingga ke 5,000 pemain mencungkil bakat mereka dalam sukan badminton.

“Ini pusat latihan terbesar serta pertama di negara ini dan untuk merealisasikan hasrat tersebut saya berterima kasih kepada Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Norhayati Ab. Wahab yang mencadangkan idea ini.

“Beliau mencadangkan idea yang cukup bagus untuk mewujudkan pusat latihan daerah yang akan menjadi pusat latihan KLBA, yang mana ia menjadi inspirasi kepada pemain, sekolah dan juga guru-guru,” katanya selepas melancarkan Kejohanan Badminton Tertutup Kuala Lumpur Projek Jejak Juara 2023 di SMK Seri Bintang Selatan di sini,  hari ini.

Menurut Jahaberdeen, peserta yang menyertai pusat latihan itu akan diambil dari setiap 292 sekolah kerana KLBA mahu memberikan peluang kepada lebih ramai pelajar.

“Dengan projek tersebut peluang lebih terbuka kepada akar umbi bagi melahirkan pemain badminton yang hebat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Memang ini eksperimen yang gila tetapi dalam masa sama ia amat menerujakan kerana sekarang kita bukan sahaja buka peluang kepada lebih ramai bakat dilahirkan, tetap juga memberi peluang kepada guru menambah nilai dengan bertindak selaku jurulatih,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu, pihaknya juga menggalakkan guru-guru terbabit menambah nilai diri sendiri dengan mengikuti kursus kejurulatihan.

Dalam pada itu, Naib Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KLBA, Datuk Razif Sidek pula berkongsi inisiatif yang diambil pihaknya menghantar para pemain menerima pendedahan di Sekolah Badminton Banthongyord dekat Thailand.

“Kelab ini telah berjaya melahirkan dua juara remaja dunia iaitu Ratchanok Itanon dan Kunlavut Vitidsarn, jadi, saya rasa untuk pembangunan pemain bawah 19 tahun, Banthongyord merupakan tempat yang sesuai untuk mereka,” katanya.

Ketika ditanya mengapa pihaknya tidak menghantar para pemainnya mengikuti latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), beliau memberitahu, ABM adalah tempat pemain terbaik di negara ini dan terpulang kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), jika berhajat untuk mengambil pemain-pemain yang telah diasah bakat mereka menerusi sistem pembangunan KLBA. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya