67 juta kanak-kanak dunia terlepas vaksin rutin

67 juta kanak-kanak dunia terlepas vaksin rutin

VAKSINASI rutin kanak-kanak perlu dititikberatkan bagi membendung penyakit berjangkit. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kira-kira 67 juta kanak-kanak seluruh dunia terlepas sebahagian atau sepenuhnya vaksin rutin di antara 2019 dan 2021 kerana penutupan dan gangguan penjagaan kesihatan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Vaksin rutin adalah seperti tuberkulosis, hepatitis A dan B, difteria, pertusis, tetanus, influenza, demam campak, beguk, rubela, polio, campak, cacar air, rotavirus, meningococal dan lain-lain.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan, hal ini amat mengecewakan setelah lebih sedekad hasil susah payah pelbagai pihak bagi memastikan imunisasi rutin kanak-kanak diperoleh di seluruh dunia.

KEMBALI MENCABAR
Laporan baharu daripada agensi kanak-kanak PBB iaitu Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan, usaha untuk kembali ke perancangan asal dijang­ka lebih mencabar.

Daripada 67 juta kanak-kanak yang vaksinasinya terganggu, 48 juta daripadanya dilaporkan terlepas vaksin rutin sepenuhnya, kata UNICEF.

Malah, kata badan itu, hal ini menimbulkan kebimba­ngan mengenai potensi wabak polio dan campak.

Liputan vaksin dalam kala­ngan kanak-kanak merosot di 112 negara dan peratusan kanak-kanak yang divaksinasi di seluruh dunia merosot lima mata kepada 81 peratus iaitu paras terendah yang tidak dilihat sejak 2008.

Afrika dan Asia Selatan adalah benua yang paling terjejas.

“Membimbangkan. Kemunduran vaksinasi berlaku semasa wabak Covid-19, secara umum, pertumbuhan dalam imunisasi kanak-kanak terbantut,” kata laporan itu.

Vaksin menyelamatkan 4.4 juta nyawa setiap tahun dan jumlah itu boleh melonjak kepada 5.8 juta menjelang 2030 jika sasaran tiada mana-mana kanak-kanak ketinggalan dalam vaksinasi.

KEPENTINGAN VAKSIN
Ketua editor laporan itu, Brian Keeley memberitahu AFP, vaksin memainkan pe­ranan yang sangat penting dalam membolehkan lebih ramai kanak-kanak hidup sihat serta panjang umur.

Katanya, kemerosotan da­lam kadar vaksinasi rutin boleh ditambah dengan krisis-krisis lain seperti perubahan iklim dan krisis makanan.

“Penurunan kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak pada waktu ini amat membimbangkan,” ujarnya.

CAMPAK MEMBUNUH
Sebelum pengenalan vaksin pada tahun 1963, campak membunuh kira-kira 2.6 juta orang setiap tahun, kebanyakannya kanak-kanak.

Menjelang 2021, jumlah itu bagaimanapun jatuh kepada 128,000 orang, tetapi di antara 2019 dan 2021, peratusan kanak-kanak yang divaksin campak turun daripada 86 peratus kepada 81 peratus dan bilangan kes pada 2022 mening­kat dua kali ganda berbanding 2021.

Sehubungan itu, UNICEF menyeru kerajaan setiap negara untuk menggandakan komitmen meningkatkan pembiayaan untuk imunisasi dengan perhatian khusus untuk mempercepatkan usaha mengejar bagi mereka yang terlepas suntikan vaksinasi.

KEYAKINAN MEROSOT
Laporan UNICEF itu juga menimbulkan kebimbangan mengenai penurunan keyakinan orang ramai terhadap vaksin rutin yang dilihat di 52 daripada 55 negara yang dikaji.

Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak boleh membiarkan keyakinan menjadi rendah terhadap imunisasi rutin itu.

“Jika tidak, gelombang kematian seterusnya mungkin lebih ramai iaitu kanak-kanak yang menghidap campak, difteria atau penyakit lain, yang boleh dicegah,” ujarnya.

Menurut laporan UNICEF itu lagi, keyakinan vaksin boleh menjadi tidak menentu dan khusus masa selain analisis lebih lanjut diperlukan.

Bagaimanapun, secara ke­se­luruhan, laporan itu mengatakan bahawa sokongan untuk vaksin kekal kuat secara rela­tifnya.

Separuh daripada 55 negara yang dikaji, lebih 80 peratus responden menganggap vaksin sebagai penting untuk kanak-kanak.–AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya