Warga emas derita kanser payu dara tahap empat

Warga emas derita kanser payu dara tahap empat

ZULKHIBRI Ayub terpaksa berulang alik dari tempat kerja di pusat bandar setiap hari untuk menguruskan Rahmah Jaafar di rumah sewa mereka di Simpang Kuala, Alor Setar. - FOTO/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ramadan kali ini begitu menduga untuk Rahmah Jaafar, 74, dari Simpang Kuala di sini yang hanya mampu terbaring lemah akibat kanser payu dara tahap empat dialaminya sejak tahun lepas.

Tidak seperti bulan puasa tahun lalu, Rahmah masih sihat malah mampu berpuasa penuh namun kini keadaan kesihatannya semakin memburuk dan kerap diserang sawan.

Lebih mengharukan, pada usia yang lanjut Rahmah yang kematian suami sejak 20 tahun lalu itu hanya mampu melawan kesakitan akibat kanser itu dengan kudratnya yang sudah tidak seberapa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut anak tunggalnya, Zulkhibri Ayub, 35, tiada rawatan disyorkan untuk ibunya termasuk pembedahan dan kemoterapi atas faktor usia itu, malah bahagian payu dara yang dijangkiti kanser itu sudah luka dan semakin merebak.

“Setiap hari saya kena cuci, kalau tak tahan sangat memang kena ambil ubat tahan sakit sahaja. Kami reda sahaja kerana itu ketentuan Tuhan,” katanya ketika ditemui di rumah sewa mereka di Simpang Kuala di sini, semalam.

Zulkhibri yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, keadaan kesihatan ibunya juga semakin merosot setiap hari mengakibatkan dia terpaksa baring dan tidak boleh berjalan lagi.

“Mak dikesan hidap kanser masa Aidilfitri tahun lepas. Sebelum kena kanser ini, mak sihat walaupun sudah berusia. Boleh berjalan dan buat kerja rumah. Tetapi sekarang nak jalan pun tak boleh, hanya mampu mengesot saja.

“Saya bekerja di bandar Alor Setar, dari pukul 9 pagi sampai 6 petang setiap hari. Waktu rehat saya pulang bawa makanan untuk mak. Dulu kami sewa di Anak Bukit, jauh dengan tempat kerja jadi pindah ke sini lebih dekat. Terpaksa walaupun sewa mahal, RM600 sebulan,” ujarnya.

Katanya, dia terpaksa meninggalkan ibunya sendiri setiap hari walaupun hatinya berat demi mencari nafkah untuk mereka sekeluarga.

“Kalau tak kerja macam mana nak ada duit? Jadi kena pandai uruskan semua ikut kesesuaian. Barang macam lampin dan pembalut luka itu saya kena sediakan untuk mak. Tetapi kadang-kadang tak mampu juga nak beli,” katanya.

Sementara itu, Rahmah reda dengan penyakit yang dihidapinya itu walaupun terpaksa menanggung penderitaan sehingga kadang-kala tidak boleh tidur malam kerana rasa seperti dicucuk di tempat terkena kanser itu.

“Tahun lepas masih sihat dan boleh puasa lagi macam biasa, tahun ini tak dapat nak puasa pun, hari pertama cuba juga tetapi sampai pukul 6 petang sahaja sebab diserang sawan. Anak pun tak bagi puasa,” katanya.

Kata warga emas ini, dia beruntung kerana mempunyai anak yang bertanggungjawab dan mahu menjaganya walaupun dalam keadaan yang terburuk seperti itu setelah suami, Ayub Awang yang merupakan seorang anggota polis meninggal dunia.

Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh berbuat demikian di akaun Bank Simpanan Nasional milik Rahmah Jaafar, 0210041000215066. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini