UDA lancar Sukuk Wakalah bernilai RM1 bilion - Utusan Malaysia

UDA lancar Sukuk Wakalah bernilai RM1 bilion

KETUA Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Datuk Sr. Mohd Salem menyampaikan ucapan pada Pelancaran SUKUK UDA 2023 di Hotel Aloft KL Sentral. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset, hospitaliti serta fasiliti di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melancarkan Sukuk Wakalah bernilai RM1 bilion.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, keputusan UDA menerbitkan sukuk tersebut dalam bentuk Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dan Kertas Komersial Islam (ICP) harus dipuji kerana bertepatan dengan persekitaran pembangunan ekonomi negara ketika ini.

Katanya, program sukuk tersebut  juga dapat menjana sumber kewangan yang mampu memastikan kelestarian agar UDA dapat terus berkhidmat dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.

“Langkah UDA menerbitkan Sukuk Wakalah untuk pertama kalinya ini adalah tepat pada masanya memandangkan negara sedang melalui fasa pemulihan ekonomi yang kini menekankan kepada aspek kelestarian perniagaan. 

“Penerbitan sukuk ini menjadi sejarah penting kerana UDA menjadi organisasi pertama yang menggunakan definisi Pelaburan Mampan Dan Bertanggungjawab (SRI) untuk projek pembangunan hartanah wakaf,” katanya pada majlis UDA Sukuk Townhall di Hotel Aloft KL Sentral di sini semalam.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany berkata, MARC Ratings Berhad telah memberi penarafan MARC-1IS / AA-IS untuk penerbitan Sukuk Wakalah tersebut.

Menurutnya, penarafan tersebut berdasarkan rekod prestasi membanggakan UDA dalam pembangunan hartanah negara, imbangan tunai yang kukuh hasil daripada pengurusan modal yang berkesan serta sumber pendapatan berulang daripada hartanah yang dilaburkan.

“Dana daripada penerbitan Sukuk Wakalah ini akan digunakan antara lainnya sebagai modal pusingan untuk pembiayaan projek-projek pembangunan komersial, perumahan, perindustrian serta projek wakaf.

“Sealiran dengan perkembangan global yang menitikberatkan faktor kelestarian dalam setiap langkah organisasi, sukuk ini turut mengguna pakai Rangka Kerja Sukuk Kelestarian yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. 

“Secara khususnya, ia merangkumi Piawaian Bon Hijau ASEAN, Piawaian Bon Sosial ASEAN dan Piawaian Bon Lestari ASEAN. Selain itu, ia juga diselaraskan dengan Prinsip Bon Hijau, Prinsip Bon Sosial dan Garis Panduan Bon Lestari yang dikeluarkan oleh Persatuan Modal Antarabangsa,” ujarnya.

Tambahnya, hasil daripada terbitan sukuk ini juga akan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pengaplikasian tenaga solar di bangunan-bangunan yang diselenggara UDA seterusnya memperkukuh penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih mesra alam.

Penasihat utama tunggal untuk pelaksanaan program Sukuk Wakalah ini adalah RHB Investment Bank Berhad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.