Masalah guru kurang dalam empat subjek ditangani berperingkat

Masalah guru kurang dalam empat subjek ditangani berperingkat

Kementerian Pendidikan diminta segera mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) dan garis panduan untuk membenarkan guru bersuara dengan bebas melalui media sosial. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang berusaha menangani masalah kekurangan guru dalam empat mata pelajaran iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).

Ketua Pengarahnya, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, perbincangan telah diadakan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran untuk membuat pengambilan melalui beberapa kaedah yang dicadangkan.

“Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan buat proses pengambilan dan tawaran untuk guru-guru yang berjaya secara berfasa. Masalah kekurangan guru yang sedang kita hadapi ditangani secara berperingkat.

“Isu ini tidak dapat diselesaikan dalam masa terlalu singkat, namun mungkin dalam tempoh satu atau dua tahun lagi keadaan kembali normal,” katanya selepas meninjau perjalanan minggu pertama persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, di sini semalam.

Pkharuddin berkata, perbincangan bersama institut pendidikan guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) juga telah dibuat bagi meningkatkan pengambilan pelajar dalam empat mata pelajaran terbabit.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sistem pendidikan di negara ini perlu berlaku dalam tempoh 190 hari dan jelas dinyatakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Katanya, KPM memahami hasrat ibu bapa dan sebahagian guru yang mahu suasana pembelajaran bermula pada Januari atas faktor tertentu.

“Kita berasakan kedua-duanya mempunyai kelebihan. Permulaan penggal persekolahan pada Mac boleh mengelakkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada berlaku pada musim Monsun Timur Laut dan tempoh menunggu untuk memasuki institusi pengajian tinggi tidak terlalu panjang.

“Bagaimanapun KPM tetap berusaha melihat ruang dan peluang agar tempoh penggal persekolahan diawalkan sedikit yang mana ia mungkin mengambil sedikit masa dan ruang. Kalau kita nak awalkan lagi mungkin perlu korbankan cuti sedangkan cuti juga penting bagi memberi ruang rehat kepada pelajar, ibu bapa dan guru,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN