Makan tengah hari di luar selamatkan sebuah keluarga 

Makan tengah hari di luar selamatkan sebuah keluarga 

MOHD. Shakir Fairuz Ahmad melihat keadaan bilik utama rumahnya yang rosak selepas dirempuh sebuah kereta di Taman Perak, Kulim. -UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Keputusan seorang lelaki mengajak isterinya yang sarat mengandung untuk keluar makan tengah hari menyelamatkan mereka daripada dirempuh sebuah kereta yang terbabas ke rumahnya di Taman Perak, hari ini.

Kejadian pada pukul 1.20 petang itu berlaku setelah sebuah kereta jenis Honda BRV yang dipandu seorang lelaki bersama anak perempuannya merempuh pagar rumah dan bilik tidur utama kediaman terbabit.

Mohd. Shakir Fairuz Ahmad, 38, berkata, ketika kejadian dia keluar bersama isterinya, Cici Lastri Lasrywan, 30, serta dua anak lelaki yang berusia sembilan dan tujuh tahun ke sebuah restoran di Lunas, di sini.

BERSALIN

“Disebabkan isteri akan dimasukkan ke wad bersalin di Hospital Kulim esok, saya mengajaknya makan tengah hari bersama anak-anak pada waktu rehat tetapi ketika dalam perjalanan pulang seorang jiran menghubungi saya memaklumkan sebuah kereta telah merempuh rumah kami,” katanya ketika ditemui.

Mohd. Shakir berkata, sebaik tiba di rumahnya, dia tergamam apabila melihat pintu pagar kediaman itu rosak teruk serta sebuah kereta berada di dalam bilik utama, namun pada masa sama bersyukur kerana terselamat daripada kejadian tidak diingini.

“Bilik utama itu menjadi tempat berehat serta belajar dua anak lelaki saya dan kebiasaanya saya akan keluar makan bersama keluarga pada cuti hujung minggu sahaja,” katanya.

Sementara itu, seorang jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Rosli berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya yang terletak selang tiga unit daripada rumah mangsa dan terdengar dentuman kuat dari luar rumah sebelum berlari keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Pada mulanya saya sangka tong sampah jiran dilanggar oleh kenderaan yang tidak diketahui, namun apabila melihat ke arah rumah mangsa saya nampak asap keluar daripada rumahnya sebelum melihat sebuah kereta berada dalam bilik rumah jiran saya,” katanya.

Ujarnya, dia kemudian meninjau ke dalam kereta terbabit dan ternampak seorang lelaki yang berada di tempat duduk pemandu serta seorang remaja perempuan dipercayai anaknya dalam keadaan kesakitan akibat kecederaan.

“Saya bersama beberapa jiran kemudian membantu mereka keluar daripada kereta terbabit sebelum menghubungi talian kecemasan untuk bantuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.